Persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh penyerang skuad B-18 tahun Indonesia, Amiruddin Bagus Kahfi dalam kejohanan Piala AFF B-18 Tahun di Vietnam baru-baru ini nyata berbaloi apabila pemain itu dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama pasukan senior menjelang saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Simon McMenemy menegaskan beliau mengundang Bagus untuk menjalani latihan bersama pasukan senior sebagai satu bentuk penghargaan di atas kecemerlangan kembar kepada Amiruddin Bagas Kaffa itu bersama skuad B-18 tahun Garuda.

Amiruddin Bagus Kahfi

Amiruddin Bagus Kahfi
Sumber Gambar: Yahoo

Bagus muncul sebagai antara penjaring terbanyak kejohanan Piala AFF B-18 tahun dengan menjaringkan 6 gol sepanjang kejohanan tersebut berlangsung. Kecemerlangan Bagus turut membantu Indonesia menamatkan saingan di tangga ketiga dimana mereka menewaskan pasukan Myanmar pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Simon berkata: “Saya harap Bagus dapat memanfaatkan peluang berlatih bersama skuad senior sekaligus menimba pengalaman bagi memantapkan lagi kualiti serta kemampuan yang beliau miliki.

Selain menjemput Bagus Kahfi untuk menjalani latihan, bekas ketua jurulatih Bhayangkara FC itu turut memanggil beberapa pemain baharu bagi menggantikan pemain yang disenaraikan sebelumnya kerana masalah kecederaan.

Ruben-Sanadi

Ketua pasukan Persebaya Surabaya, Ruben Sanadi
Sumber Gambar: DBAsianews

Ketua pasukan Persebaya Surabaya, Ruben Sanadi dipanggil bagi menggantikan pemain pertahanan Arema, Johan Alfarizi yang masih belum pulih daripada kecederaan. Pemain sayap lincah Persib Bandung, Febri Haryadi turut dipanggil dimana beliau akan menggantikan Rizky Pora.

Indonesia akan membuka tirai kempen kelayakan dengan berdepan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September ini diikuti dengan perlawanan menentang Thailand di venue yang sama pada 10 September.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group