Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, (TMJ) mengajak para penyokong Harimau Selatan hadir ke sesi soal jawab di Stadium Sultan Ibrahim bermula pukul 8 malam ini.

Menurut kenyataan rasmi JOHOR Southern Tigers, TMJ turut akan berkongsi dengan para penyokong mengenai perkara-perkara terkini dan perancangan masa hadapan Harimau Selatan.

Sesi ini juga akan disiarkan melalui platform FB Live laman JOHOR Southern Tigers.

Malah, TMJ juga mahu para penyokong melontarkan apa-apa soalan yang padu melibatkan pelbagai isu dalam pasukan tersebut termasuk mengenai pertukaran jurulatih.

“Bagi soalan power power. Sila bawa orang orang pakar bolasepak, fakta,dan stats pada malam ini. Jangan pandai dalam sosial media sahaja. Dulu bertahun tahun sikit-sikit Mora Out. Sekarang nak mora balik.

“Masa zaman Mora, semua asyik complain tak habis habis pasing belakang, game slow, taktikal tak bagus dan macam macam lagi. Yang berbual pasal taktikal ni dah berapa piala menang? Saya pun nak tahu.

“Jadi tak payah malu malu. Mari kita jumpa malam ini. Saya pun banyak juga nak belajar dari pakar-pakar bolasepak tanah air ini semua. Saya ada satu soalan yang saya ingin bertanya kepada para penyokong JDT sekalian. Dalam masa 10 tahun JDT telah tukar 11 jurulatih dan ramai pemain.

“Tetapi macam mana ia tidak menggugat prestasi pasukan? Dan daripada 2014 dalam dan luar padang, kelab tetap berjaya. Anda rasa sebab apa? Bagi saya jawapan malam ini. Kita sama sama berkongsi pendapat. Jumpa malam ini wahai keluarga JDTku,” tulis TMJ di ruang komen laman instagram rasmi JDT.

Pemergian Benjamin Mora sebelum ini mengejutkan peminat bola sepak tempatan kerana beliau telah pergi ketika JDT sedang berada dalam prestasi terbaik di Liga Malaysia.

Mora juga merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa pasukan tersebut ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Beliau telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

JDT yang kini dikendalikan oleh Hector Bidoglio masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan.