Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan kejutan pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia 2023 di Dewan Tertutup, Sheikh Rashid Bin Hamdan, Dubai.

Masih segar dengan kejayaan meraih gelaran juara di Orleans Master pada awal April lalu, Tang Jie-Ee Wei menundukkan pilihan ketujuh kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dengan kemenangan ‘straight set’ 21-14, 21-13.

Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan pertemuan mereka menentang wakil dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti di pusingan kedua, esok.

Selepas terikat 7-7 pada awal permainan, pasangan negara menampilkan aksi kemas untuk mendahului lawan sehingga berjaya mencatatkan kemenangan 21-14.

Skrip hampir sama berlaku di set kedua dengan anak buah Nova Widianto dengan tenang memimpin perlawanan untuk meraih kemenangan 21-13 walaupun pada mulanya gandingan Korea Selatan itu memberikan tekanan.

Sementara itu, nasib berbeza dihadapi dua lagi pasangan beregu campuran negara selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mera ke pusingan seterusnya hasil kemenangan ke atas Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin (Chinese Taipei) dengan 15-21, 22-20, 21-15.

Manakala, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tunduk kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 17-21, 21-13.

Cabaran kem negara pada hari ini yang mana masih dalam pusingan pertama diketuai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong serta gandingan beregu lelaki dan campuran.

Zii Jia merupakan juara bertahanKejohanan Badminton Asia dalam acara perseorangan lelaki manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula bergelar naib juara pada edisi tahun lalu yang diadakan di Manila, Filipina.