Sri Pahang sekali lagi kempunan untuk mengutip 3 mata penuh selepas terikat 2-2 dengan Sabah di Stadium Likas. Ini merupakan keputusan seri kedua berturut-turut buat pasukan kendalian Gianluigi Dollohrumma.

Tok Gajah bermula garang dan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Sabah dengan beberapa gerakan berbahaya namun ketumpulan penyudah merencatkan usaha mereka untuk mencari jaringan awal.

Sabah turut memperolehi peluang terbaik melalui Saddil Ramdani pada minit ke 35 tetapi rembatannya tersasar. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah mengandakan asakan ke kubu Sri Pahang. Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke 49 melalui sepakan gunting Amri Yahyah tapi terkena tiang.

Pada minit ke 58, Josip Ivancic menjaringkan gol pertama Sabah selepas menyudahkan hantaran cantik daripada Amri Yahyah daripada sebelah kanan. Ini merupakan jaringan pertama beliau dalam saingan Liga Super 2021.

Bagaimanapun, kegembiraan Sabah tidak bertahan lama apabila pemain sayap Sri Pahang, Baqiuddin Shamsudin manfaatkan peluang terhidang dengan merembat masuk gol penyamaan dari sebelah kanan pada minit ke 67.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat pelawat untuk membawa pulang 3 mata ke Kuantan. Malah, Sri Pahang juga mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol kedua selepas Azam Azih gagal menyudahkan hantaran Kenny Athiu dalam kotak penalti pada minit ke 78.

Perlawanan mula menjadi rancak di minit akhir perlawanan apabila kedua-dua pasukan saling menyerang dan lebih banyak rembatan dari luar kotak penalti dilakukan.

Usaha Tok Gajah melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila Malik Arif menyudahkan lorongan cantik daripada Manuel Hidalgo pada minit ke 94.

Seminit kemudian, Sabah juga kembali menyamakan kedudukan melalui Josip Ivancic yang menghukum kelekaan benteng pertahanan Tok Gajah. Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2 sekaligus menafikan hasrat pelawat untuk mengutip 3 mata penuh.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Perlawanan Melibatkan KDA Dan Kuching City Ditunda Ke Tarikh Baharu

Liga Super 2021: Kebangkitan Babak Kedua Beri Kemenangan Buat JDT Atasi UiTM FC

Liga Super 2021: Terengganu Berpesta, Belasah Perak Di Gong Badak