Ketua pasukan sekaligus legenda Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar semakin hampir untuk menyarung jersi pasukan Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawa Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana selain Baddrol, seorang lagi pemain senior iaitu Rizal Ghazali dilaporkan bakal mengikut jejak langkah sama dengan meninggalkan kelab dari utara tanah air itu.

Spekulasi mengenai masa hadapan Baddrol bersama Kedah mula timbul setelah pasukan itu tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir.

Perpindahan Baddrol dan Rizal ini semakin menghampiri kenyataan apabila ramai pihak khususnya peminat Kedah mula memuat naik ucapan penghargaan dan terima kasib kepada kedua-dua pemain di laman media sosial.

Turut tidak ketinggalan bekas ketua jurulatih yang pernah menghadiahkan Double Treble kepada Kedah, Azraai Khor Abdullah turut mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas anak buahnya itu.

Dibawah kendalian bekas Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, Sabah dilaporkan bakal membuat perubahan besar dalam pasukan dan salah satu langkah ialah membawa masuk pemain yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah ialah bekas ketua pasukan Harimau Muda A iaitu, Irfan Fazail selain penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mana kedua-dua pemain ini merupakan sebahagian daripada skuad Sukan SEA 2011.

Irfan dikhabarkan sudah berada di Kota Kinabalu bagi melengkapkan perpindahan setelah sebelumnya beraksi bersama JDT II dalam saingan Liga Premier.

Sekiranya Sabah berjaya mendapatkan khidmat Baddrol Bakhtiar dan beberapa pemain lain yang dikaitkan dengan mereka, maka kelab dari Borneo itu bakal menjadi antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Pada masa yang sama, Sabah turut memberikan kontrak lanjutan kepada pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani setelah pemain itu menampilkan prestasi yang baik musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Sony Norde Akui Pemain Kuala Lumpur City Beri Kesukaran Buatnya

Tomáš Trucha Belum Ditawarkan Kontrak Lanjutan

Darren Lok Kekal Bersama Petaling Jaya City Musim Hadapan