Kejayaan pasukan Kedah memenangi Piala FA 2019 nyata menjadi detik manis tersendiri untuk ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dimana beliau mencipta sejarah apabila memenangi trofi tersebut sebanyak empat kali bersama skuad Lang Merah.

Menurut Baddrol, yang beraksi bersama Kedah sejak tahun 2005 menyatakan beliau sememangnya bertekad untuk memenangi Piala FA musim ini sekaligus mencipta sejarah baharu dalam kejohanan yang bermula pada 1990 itu.

Kedah
Sumber Gambar: Kedah FA

“Saya memang tekad dan bercita-cita untuk mendapatkan piala ini kerana saya mahu mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab,” kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah mencatat kemenangan tipis ke atas Perak pada perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam menerusi jaringan pemain gantian, Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105.

Baddrol Bakhtiar
Sumber Gambar: BH

Pada masa yang sama, Baddrol menegaskan beliau dan rakan sepasukan akan mengalihkan perhatian terhadap saingan Piala Malaysia setelah berjaya merangkul Piala FA musim ini.

“Saya bersyukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman,” tambahnya.