Baru-baru ini skuad Harimau Malaya dihujani dengan pelbagai kecaman serta kritikan pedas di media sosial gara-gara kerana kekalahan tipis 0-1 kepada Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sehingga memusnahkan harapan untuk mengutip tiga mata penuh.

Malah, terdapat segelintir penyokong bola sepak tempatan mendesak agar pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe letak jawatan dengan segera kerana masih bergantung kepada khidmat penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat gagal mempamerkan prestasi cemerlang.

Mengulas mengenai isu tersebut, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satianathan menganggap penyokong itu tidak tahu menilai hasil kerja Tan Cheng Hoe sebaliknya hanya tahu mengkritik sahaja.

“Yang minta Cheng Hoe letak jawatan ini dia duduk planet lain dan tak tahu pasal bola sepak. Saya sedih dalam zaman moden macam ini masih ada rakyat Malaysia yang berfikiran seperti ini. Mungkin mereka tak ada kerja selain mengkiritik orang sahaja.

“Takkan lah sebab kita kalah kepada Vietnam yang memang bagus dan bermain pula di tempat mereka, ia dijadikan alasan untuk pecat Cheng Hoe. Kalau pecat Cheng Hoe, kita nak bawa siapa? Tengok pasukan Indonesia bawak mat saleh (Simon McMenemy) jadi jurulatih, pasukan mereka tak ke mana juga.

“Tengok juga pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pakai Van Marwijk sebagai jurulatih yang pernah bawa skuad Belanda ke final Piala Dunia 2010, tetapi datang Malaysia susah juga nak menang dengan pasukan negara. Jangan jadi penyokong yang tak cerdik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tan Cheng
FOTO: Stadium Astro

Malaysia setakat ini mengalami dua kekalahan selepas mengharungi tiga perlawanan. Cheng Hoe juga kemungkinan akan mengekalkan barisan yang sama bagi menghadapi Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan November depan.

“Kita masih ada lima perlawanan lagi dengan tiga perlawanan bermain di tempat sendiri. Saya yakin mereka boleh menang. Tetapi janganlah penyokong nak Malaysia jadi juara kumpulan. Realistik lah sikit.

“Bagi saya, sekarang ini mereka sedang membina pasukan dan nampak perkembangan mereka semua. Kalau dulu pasukan hebat macam Vietnam dan UAE kalau jumpa kita, mereka macam tak kisah. Sekarang mereka pun risau dengan kemampuan kita.

“Ranking pasukan negara pun dah naik. Kalau orang tak boleh terima kenyataan dan tak ada dalam bidang bola sepak ini, jangan pandai-pandai nak bersuara,” tegasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Indonesia Bawa Masuk Pemain Naturalisasi Baharu, Otavio Dutra

Tan Cheng Hoe Terbang Ke Bangkok Intip Kekuatan Thailand

Malaysia Hilang 7.63 Mata FIFA Ranking Selepas Tumpas Kepada Vietnam

Sumber