Setelah tewas dengan keputusan 1-0 pada aksi pertama peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2019, ketua jurulatih Selangor, B.Satianathan menggesa agar penyokong sebenar Red Giants untuk membanjiri Stadium Shah Alam pada perlawanan kedua Ahad ini.

Bercakap selepas perlawanan, Satia menegaskan peluang Selangor untuk mara ke peringkat suku akhir masih belum tertutup dan beliau percaya dengan sokongan padu daripada peminat di Shah Alam pada Ahad ini boleh membantu pasukan dalam memadam kelebihan yang dimiliki oleh Perak.

Selangor
Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Selangor, B. Sathianathan ketika mengendalikan latihan pasukannya persiapan menjelang Liga Super 2019 di Padang SUK. STR/OWEE AH CHUN.

“Tahniah kepada Perak, namun peluang belum tertutup. Kita masih lagi bernyawa. Keputusan 1-0 tidak membawa sebarang makna. Perak adalah pasukan yang kuat. Saya harap penyokong Selangor hadir ke stadium bagi memberikan motivasi kepada pemain pada perlawanan kedua.

“Saya mahu mengucapkan syabas kepada pemain. Dengan krisis kecederaan yang kami hadapi seperti Halim Shari dan Syazwan Zainon yang beraksi dengan kecederaan serta Sandro yang tidak dapat diturunkan, namun pemain sedia ada telah menampilkan persembahan terbaik,” kata B.Satianathan pada sidang media selepas perlawanan.

Pada masa yang sama, Satia mahu memanfaatkan waktu rehat dengan secukupnya dan beliau berharap pemain yang mengalami kecederaan sempat pulih menjelang perlawanan kedua sekaligus kembali membarisi kesebelasan utama pasukan.

Kejayaan
Sumber Gambar: FA Selangor

“Tempoh rehat yang ada akan digunakan dengan sebaik mungkin dan saya berharap pemain yang mengalami kecederaan akan segera pulih menjelang perlawanan kedua di laman sendiri. Ramai yang kata kita tidak bernasib baik apabila beraksi di Shah Alam. Saya harap dengan kehadiran penyokong ‘sebenar’, kita mungkin mempunyai peluang untuk bangkit.

“Sudah tidak ramai penyokong yang turun ke stadium. Tetapi mereka komen dan juga mengkritik di Facebook sampai 225 ribu komen. Kadang-kadang mereka ini tidak menyaksikan perlawanan namun masih lagi mengkritik,” tambahnya.

Jaringan tunggal Brendan Gan pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kelebihan buat pasukan Perak menjelang perlawanan di Shah Alam pada Ahad ini.

Baca artikel lain mengenai pasukan Selangor di sini:

Antonio German: Perbezaan Warna Kulit Memaksa Saya Tinggalkan Selangor

B.Satianathan Kecewa Selangor Gagal Teruskan Rentak Kemenangan