Ketua jurulatih Selangor, B.Satianathan kecewa apabil pasukan bimbingannya sekadar mencatat seri ketika bertemu PDRM FA dalam aksi Piala Malaysia peringkat kumpulan D di Stadium Shah Alam semalam.

Beraksi di atas permukaan padang yang basah selepas hujan pada sebelah petang nyata menjejaskan rentak permainan Selangor dan perkara itu diakui oleh pengendali berusia 61 tahun itu dimana beliau menegaskan anak-anak buahnya kerap kehilangan bola khususnya ketika merancang gerakan serangan.

Satia berkata: Dari segi permainan sememangnya sukar untuk bermain dalam keadaan padang yang basah tetapi ini bukan alasan, kerana saya beritahu pemain untuk bermain dari bahagian tepi, namun kita lebih banyak hilang bola di bahagian tengah.

“Ada beberapa pemain yang saya lihat tidak menunjukkan persembahan yang baik, sebagai jurulatih saya akan tegur jika pemain sering melakukan kesalahan sama,” katanya menurut laporan Utusan.

Jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-52 tidak cukup untuk memberikan Selangor kemenangan kedua selepas menumpaskan Melaka United minggu lalu apabila tandukan pemain import PDRM, Argzim Redzovic pada minit ke-59 berjaya mengikat kedudukan untuk pasukan pelawat.

Sementara itu, pengendali PDRM, E.Elavarasan menegaskan beliau lega dapat meraih satu mata ketika berhadapan dengan pasukan daripada Liga Super. Menurut bekas ketua jurulatih PKNS itu, keputusan seri juga memberikan motivasi tambahan kepada para pemainnya bagi menghadapi perlawanan yang akan datang.

Pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung pada Rabu ini, PDRM akan menerima kunjungan lawan sama di Stadium Hang Jebat.