Jurulatih Selangor, B.Satianathan mahu menggenggam tiket final Piala Malaysia 2019 sebagai hadiah paling bermakna sempena menyambut perayaan Deepavali pada Ahad ini.

Bukan itu sahaja, sekiranya mereka berjaya menyingkirkan Johor Darul Ta’zim Sabtu ini, beliau juga mahu mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh peminat Selangor yang turut merayakan Deepavali.

Satianathan juga yakin situasi itu bakal menjadi motivasi tambahan kepada beberapa pemain lain yang beragama Hindu seperti K.Sarkunan, KPrabakaran dan ANamathevan.

B.Satianathan
Sumber Gambar: MFL

“Memang ini yang dimahukan, bukan sahaja untuk saya serta pemain-pemain yang sedang bersama pasukan ini namun demi penyokong-penyokong Selangor terutamanya yang beragama Hindu.

“Kita mahu jadikan suasana perayaan Deepavali nanti sebagai satu suasana indah dan bermakna kepada mereka, jadi saya harap kita dapat masuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia, ” katanya.

Dalam pada itu, Satianathan mengesahkan mereka akan terus kehilangan pemain tengah, Endrick Dos Santos yang masih pulih daripada kecederaan pangkal paha.

B.Satianathan
Sumber Gambar: BH

Kehadiran Sandro Da Silva sejak aksi separuh akhir pertama lalu sudah cukup membuatkan Satianathan boleh tersenyum lebar selain Sarkunan dan Abdul Halim Shaari mampu memikul peranan di bahagian tengah bagi mengekang penguasaan JDT.

“Endrick seorang pemain yang membantu kita sebelum ini dan ketiadaan dia sememangnya satu kehilangan kepada pasukan dalam situasi seperti ini.

“Bagaimanapun, saya masih ada pemain lain seperti Sarkunan atau Halim bagi memegang watak di bahagian tengah selain kembalinya Sandro bersama pasukan.

“Dua bulan berehat panjang, dia hampir mendapatkan rentak ketika aksi separuh akhir pertama walaupun belum sama ketika dia bermain di liga tetapi saya nampak dia akan lebih bersedia berdasarkan situasi di tempat latihan,” katanya.

Pada separuh akhir pertama, JDT membawa kelebihan tipis 2-1 dari Stadium Tan Sri Dato Hj. Hassan Yunos, Larkin melalui gol daripada Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez manakala Ifedayo Olusegun menjadi penjaring tunggal Selangor

Sementara itu Sandro optimis dia mampu tampilkan aksi lebih bertenaga ketika melayani kunjungan JDT di Stadium Shah Alam selepas mampu beraksi selama 75 minit di Larkin.

B.Satianathan
Sumber Gambar: MFL

“Selepas sekian lama tidak beraksi dan melalui satu perlawanan yang sukar bertemu JDT, saya rasa lega kerana boleh membantu pasukan di sana.

“Kini saya makin positif dengan tahap kecergasan saya bagi hadapi JDT di laman sendiri, saya rasa kami mampu melakukan sesuatu dan seterusnya cipta laluan ke final, ” katanya.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim di sini:

Piala Malaysia 2019: Lebih 50,000 Tiket Perlawanan Selangor Menentang JDT Berjaya Dijual

Syafiq Ahmad Jangka Perlawanan Dramatik Di Stadium Shah Alam