Bekas ketua jurulatih pasukan negara, B.Sathianathan memberi pendapat bahawa sukar untuk meletakkan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric ke dalam kalendar rasmi FIFA.

Menurut Sathia, antara cabaran untuk meletakkan Piala AFF dalam kalendar FIFA ialah jaduah liga bola sepak Asia Tenggara dimana liga domestik Asean perlu diselaraskan dengan saingan liga bola sepak Eropah.

B.Sathianathan
Sumber Gambar: MFL

“Kalau betul nak letak dalam kalendar FIFA, memang baik, tetapi saya nampak susah. Sekarang kalendar amat padat dengan Kelayakan Piala Asia, Kelayakan Sukan Olimpik dan sebagainya. FIFA nak letak kejohanan ini di mana?

“Kalau Piala AFF nak letak dalam kalendar FIFA, semua liga di Asean ini haruslah diselaraskan. Tak bolehlah setiap liga domestik di Asia Tenggara bermula dengan tarikh yang berbeza-beza.

“Mereka kena ikut macam jadual di Eropah atau jadual Liga Jepun dan sebagainya. Jadi nak laksanakan cadangan ini kena lebih realistik,” kata B. Sathianathan dipetik dari laporan Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mahu menyenaraikan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric dalam kalendar FIFA sekaligus menjadi kejohanan rasmi badan bola sepak dunia itu.

Beliau kagum dengan atmosfera bola sepak Asia Tenggara ketika hadir menyaksikan perlawanan akhir antara Thailand menentang Vietnam di Stadium Thammasat dan perkara itu yang membuatkannya mahu meletakkan Piala AFF dalam kalendar FIFA.

“Piala AFF harus ditingkatkan dan menjadi sebahagian daripada pertandingan dibawah FIFA. Kita harus memastikan kejohanan ini semakin berkembang pada masa akan datang.

“Jika kita bekerjasama, saya yakin Piala AFF akan menjadi sebahagian daripada organisasi besar bola sepak dunia. Kejohanan ini amat penting bagi warga Asean. Dengan populasi lebih dari 650 juta orang, sudah jelas bahawa masyarakat di rantau ini cukup meminati sukan bola sepak,” kata Infantino.

Sebelum ini, pasukan bertanding sentiasa berdepan masalah terutamanya dalam mendapatkan pemain terbaik mereka ekoran Piala AFF tidak berada dalam kalendar rasmi FIFA dan kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain mereka apabila dipanggil.