Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan membidas kelakuan segelintir penyokong The Red Giants yang bertandang ke Larkin pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan itu menentang pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim semalam.

Menurut laporan Goal.com, Sathia menggesa agar peminat memahami situasi semasa pasukan dimana beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan kerana masalah kecederaan dan penggantungan.

B.Sathianathan
Sumber Gambar: Stadium Astro

Perkara itu nyata menjejaskan perancangan beliau dan berdepan dengan lawan seperti JDT nyata menyukarkan lagi usaha Selangor untuk membawa pulang 3 mata. Sathia turut kecewa dengan ketumpulan barisan serangan.

Pada masa yang sama, Sathia mendedahkan kejadian dimana ada peminat yang melontarkan kata-kata kesat kepadanya ketika beliau dan para pemain sedang berjalan ke terowong bagi menuju ke bilik persalinan pasukan.

“Semasa berjalan (ke terowong), seorang peminat Selangor melontarkan kata-kata kesat terhadap saya. Dia memakai baju berwarna merah jadi dia mesti penyokong Selangor. Bagaimana dia boleh mengeluarkan kata-kata kesat sedangkan ada kanak-kanak di tempat duduk penyokong?

“Siapa yang mahu membawa ahli keluarga mereka untuk datang ke stadium dan menyokong Selangor jika kata-kata kesar sering dilemparkan ? Apa yang lebih menyedihkan ialah peminat itu duduk di bahagian grandstand dimana penyokong yang lebih educated terletak disitu. Saya tak pernah menyaksikan kejadian seperti ini ketika menyaksikan perlawanan di Eropah,” kata Sathia.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan ini turut meminta peminat agar lebih bersabar memahami keadaan semasa pasukan kerana Selangor ketika ini sedang dalam proses pembaharuan di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.

Kad Merah
Sumber Gambar: JST

Selangor akan kehilangan khidmat Taylor Regan dan K.Sarkunan pada perlawanan Liga Super seterusnya bertemu pasukan Pahang di Stadium Shah Alam pada 25 Jun ini.

Kedua-dua pemain akan menjalani penggantungan setelah Regan mengutip 5 kad kuning musim ini manakala Sarkunan dilayangkan kad merah pada perlawanan semalam.