Pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin mengharapkan perjalanan Liga Malaysia 2021 akan lebih baik selepas mengakui berdepan cabaran cukup hebat musim ini dalam menangani pandemik COVID-19.

Jelasnya, situasi yang melanda seluruh negara ketika ini benar-benar memberi kesan kepada semua pasukan terutamanya Sabah yang menjadi antara negeri paling banyak mempunyai kes positif COVID-19 sehingga memaksa mereka melupakan hasrat beraksi di TM Piala Malaysia 2020.

Pengorbanan sedemikian nyata menyedihkan semua pemain, namun pemain berusia 26 tahun ini percaya hikmah disebalik apa yang berlaku musim ini selain mengharapkan musim 2021 dapat memberi sesuatu yang lebih indah.

Azzizan Nordin
Sumber Gambar: Sabah FA

“Apa yang kami korbankan adalah demi keselamatan semua orang, walaupun hakikatnya memang masih terasa sedikit sedih apabila terpaksa menarik diri dari TM Piala Malaysia.

“Sebagai pemain, mahu atau tidak kita kena selalu ambil positif dalam menangani apa jua situasi termasuk pandemik COVID-19 ini, dan jurulatih-jurulatih yang paling banyak membantu dalam tempoh kami tidak boleh turun ke padang kerana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Banyak yang saya belajar pada musim ini untuk menjadi lebih kuat pada tahun hadapan, dan harap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Azzizan antara yang menjadi watak penting dalam membantu Sabah menjuarai Liga Premier pada tahun lalu untuk layak beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 selepas kali terakhir beraksi dalam saingan elit itu pada tahun 2012.

Azzizan Nordin
Sumber Gambar: Sabah FA

Namun, siapa sangka perjalanan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto tidak semudah itu apabila perlawanan terakhir liga juga terpaksa dilupakan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan, UiTM FC apabila tidak mendapat kebenaran keluar oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bercakap mengenai prestasi pasukan musim ini, Azzizan tidak menafikan Sabah yang menamatkan saingan di tangga ke 10 liga masih tercari-cari rentak untuk menyaingi pasukan berpengalaman lain dan memerlukan lebih banyak kerja keras bagi memperbaiki pencapaian musim ini.

“Untuk prestasi peribadi, saya rasa banyak lagi kekurangan dalam diri saya dan rasa puas itu masih belum ada apatah lagi, kita pun hanya sempat beraksi untuk beberapa perlawanan sahaja musim ini disebabkan COVID-19.

“Tetapi untuk pasukan, kita masih bersyukur kerana kekal dalam saingan Liga Super, cuma saya tidak nafikan rentak kami masih perlahan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.

“Jadi, kami perlu lebih serius untuk meletakkan Sabah di kedudukan lebih baik pada musim depan setanding dengan pasukan berpengalaman yang lain,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

RASMI: FAS Umum Karsten Neitzel Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Skuad Gergasi Merah!

Kedah Kekalkan Trio Import Bagi Hadapi Musim 2021

Lee Tuck Dan Sanjar Shaakhmedov Bakal Tinggalkan Terengganu?