Penjaga gol muda, Azri Abdul Ghani bertekad mahu mencipta nama bersama pasukan baharu, Perak pada musim hadapan selepas mengakui bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama bersama Kedah pada musim ini.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak menolak perebutan yang cukup sengit dalam pasukan Kedah pada musim ini memberi peluang yang agak terhad untuknya berada dalam kesebelasan utama apabila perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol, Shahril Saa’ri dan Ifwat Akmal.

Justeru, keputusannya untuk berhijrah ke skuad kendalian Mehmet Durakovic itu adalah tepat bagi memastikan potensinya akan lebih menyerlah bersama pasukan itu selain mahu membantu Perak meraih sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2021.

Azri Abdul Ghani
Sumber Gambar: MUSA

“Kenapa saya pilih pasukan Perak adalah kerana saya tengok Perak antara pasukan yang cukup kuat dalam Liga Malaysia yang mana pasukan itu juga setanding dengan pasukan seperti Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

“Kedah memang satu pasukan hebat, tetapi saya akui saya kurang mendapat minit permainan dan persaingan terlalu sengit untuk saya berada dalam skuad utama, hanya pada penghujung musim sahaja baru saya berpeluang untuk beraksi.

“Sebab itu, saya rasa inilah masa yang tepat untuk saya mencuba aura baharu bersama Perak pada tahun depan, dan akan bekerja keras mengembangkan lagi potensi saya selain ingin bantu Perak harungi Liga Super dengan lebih cemerlang”, katanya.

Pemain kelahiran Kelantan ini mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kedah atas pengalaman berharga sepanjang mengharungi musim 2020 untuk akhirnya dinobatkan sebagai naib juara CIMB Liga Super selain layak beraksi di Piala AFC 2021.

Azri Abdul Ghani sebelum ini mula mencipta nama selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan pada Kejuaraan B-19 AFF 2018 sehingga pasukan kendalian Bojan Hodak ketika itu muncul juara buat kali pertama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

K.Devan Dilantik Sebagai Pengendali Baharu Negeri Sembilan

Darren Lok Dikaitkan Dengan Petaling Jaya City FC

Kedah Semakin Hampir Dapatkan Khidmat Ilham Amirullah