Baru-baru ini tular di media sosial mengenai gambar dua pemain skuad muda negara, Akhyar Rashid dan Luqman Hakim yang dilihat sedang bercuti bersama sekumpulan gadis di Phuket, Thailand sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Para peminat tempatan beranggapan hal di luar padang seperti berfoya-foya dengan perempuan bukan mahram dikhuatiri akan merosakkan karier pemain itu dan prestasi mereka akan merudum jika tidak dibendung sejak awal.

Mengulas mengenai isu tersebut, bekas jurulatih skuad Helang Merah, Azraai Khor Abdullah meramalkan karier bola sepak Akhyar mungkin musnah jika dia terus dibiarkan hanyut dalam dunianya sendiri.

“Akhyar pemain muda yang sangat berbakat malah beruntung kerana mendapat peluang menyertai JDT. Semua orang tahu JDT adalah pasukan yang lengkap. Fasilitinya bertaraf antarabangsa, pengurusan profesional dan kebajikan pemain sentiasa terjamin.

“Tapi, sayang Akhyar seolah-olah mensia-siakan peluang keemasan yang diperolehnya itu dengan mencetuskan pelbagai kontroversi,” katanya seperti dipetik di laman La Bola Malaya.

MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH / LIGA SUPER / WISMA NEGERI
FOTO:  NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Azraai juga turut berharap seseorang dapat membimbing Akhyar ke jalan yang benar supaya pemain muda itu tidak dibuai dengan keseronokan, kemewahan dan kemahsyuran.

“Bagi saya Akhyar belum matang dan tidak memahami apa erti sebenar kedudukannya sebagai pemain profesional. Dia tidak dapat membezakan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Seseorang yang rapat dengan dia sama ada ahli keluarga atau kawan perlu membimbingnya supaya dia tidak terus hanyut. Tarik dia ke tepi dan bercakap dengannya.

“Saya difahamkan JDT sendiri sudah beberapa kali mendendanya. Saya bimbang jika Akhyar tidak berubah, ia boleh mengancam kedudukannya dalam pasukan itu. Kalau dah kena buang dari JDT, karier Akhyar akan musnah,” ujar Azraai.

Tahukah anda, JDT pernah beberapa kali mendenda Akhyar Rashid kerana video yang dimuat naik dalam laman sosial. Baca artikel dibawah untuk mengetahui lebih lanjut.

TMJ: Pemain Perlu Tahu Menjaga Imej, Jenama Dan Kepentingan Kelab, Bukan Memperbodohkan Diri Di Laman Sosial