Bekas ketua jurulatih pasukan Kedah Darul Aman, Azraai Khor Abdullah memberi bayangan pengendali Terengganu, Nafuzi Zain bakal menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Azraai Khor memuat naik gambar Nafuzi ketika jurulatih itu bergelar pemain Kedah dengan menggunakan caption “Selamat Datang”.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Ab Rasid Jusoh mengesahkan Nafuzi telah menolak tawaran lanjutan kontrak yang diberikan oleh pihak pengurusan bagi saingan musim hadapan.

Bagaimanapun, jurulatih tersebut tetap akan membimbing TFC dalam baki saingan Piala Malaysia sehingga mara ke pentas final musim ini.

“Kita menerima surat dan jawapan daripada ketua jurulatih, Nafuzi Zain pada jam 4.47 petang semalam, dalam surat itu beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita tawarkan kepadanya pada musim depan.

“Bagaimanapun dalam perbincangan dengan Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, tidak ada sebarang perubahan barisan kejurulatihan dalam saingan Piala Malaysia ini, beliau masih lagi menerima gaji daripada pasukan.

“Jadi tiada sebab beliau direhatkan, sebaliknya jurulatih itu perlu menamatkan saingan Piala Malaysia musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi,” katanya.

Namun begitu, Terengganu sudah pun mempunyai calon pengganti yang sesuai dan bakal mengumumkan nama jurulatih baharu bulan depan.

“Kita akan mencari dan meneliti jurulatih yang bakal mengambil alih tugas berkenaan sekurang-kurangnya menyamai dan melebihi apa yang dicapai pada musim ini.

“Jadi sebelum liga bermula pada Februari tahun depan, kita akan umumkan jurulatih berkenaan bagi memastikan kesinambungan pasukan berada pada landasan terbaik dan pencapaian tidak lari jauh daripada apa yang dicapai sekarang.

“Lagipun selepas beliau (Nafuzi) menolak tawaran itu, banyak permohonan daripada dalam dan luar untuk menjadi jurulatih, jadi kita akan teliti dan nilai permohonan berkenaan yang bersesuaian,” tambah Rasid Jusoh.

Kedah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak ketua jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin setelah pasukan berdepan dengan prestasi kurang memberangsangkan dimana pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-8, Piala Malaysia di peringkat 16 terakhir manakala dalam saingan Piala AFC, Kedah terkandas di peringkat separuh akhir antara zon dimana mereka tewas kepada PSM Makassar.