Bekas pengendali pasukan Kedah, Azraai Khor berpendapat skuad Hijau Kuning perlu menambah baik jentera serangan sekiranya mahu bersaing dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Super 2023.

Azraai berkata demikian selepas Kedah mencatat keputusan seri ketika menentang Sri Pahang dan beliau nyata berpuas hati dengan satu mata yang dibawa pulang ke Darul Aman.

“Kalau boleh kekal dalam carta ni kira Alhamdulillah. Banyak kerja rumah yang perlu dibuat khususnya di bahagian serangan. Percaya dengan proses,” kata Azraai Khor menerusi laman media sosial Facebook miliknya.

Penyerang import utama, Willian Lira masih lagi belum menampilkan prestasi terbaik beliau dimana setakat ini, pemain berusia 29 tahun itu hanya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super, satu ketika menewaskan Perak dan satu lagi ketika Kedah menewaskan Kelantan United dengan keputusan 3-2.

Azraai Khor
Sumber Gambar: KDA

Catatan sama turut dilakar oleh dua lagi pemain import di bahagian serangan iaitu Jonathan Balotelli dan Manuel Hidalgo dimana kedua pemain turut menjaringkan dua gol dalam saingan liga setakat ini.

Para pemain mungkin masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi Zain memandangkan ini merupakan musim pertama Nafuzi mengendalikan Kedah.

Setakat enam perlawanan liga, Kedah kini menduduki tangga kedua dengan kutipan 13 mata dimana mereka hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan bersama dua lagi pasukan iaitu Sabah dan Selangor yang turut mengutip 13 mata.

Selepas ini, Kedah akan turun menentang pasukan Penang di laman sendiri dan mereka mahu mencatat kemenangan bagi menjarakkan kedudukan dengan pasukan lain di bawah mereka selain mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini berada di puncak.