Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menegaskan industri sukan bola sepak tidak boleh dipinggirkan dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini kerana ia turut menjadi lubuk mata pencarian pemain dan pegawai pasukan.

Jelasnya, apa yang telah berlaku dalam saingan Liga Malaysia 2020 sudah cukup menggambarkan keperitan bagaimana mereka yang bekerja dalam industri bola sepak turut sama terkena tempias terutamanya dalam aspek kewangan dan penajaan.

Justeru, beliau mengharapkan kelonggaran dapat diberikan oleh kerajaan agar saingan Liga Malaysia serta persiapan semua pasukan dapat berjalan dengan lebih lancar selain percaya mereka sudah mampu untuk mengikuti segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Azraai Khor Abdullah
SEREMBAN 28 FEBRUARI 2018. Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Mohd Azraai Khor Abdullah ditemui pada Majlis Ringkas Tandatangan Kontrak Jurulatih Baru PBNS di Wisma Negeri, Seremban. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Sekiranya ia terus ditangguh lebih lama atau lebih parah, dibatalkan pada musim ini, sudah pasti mereka yang terlibat dalam sektor bola sepak ini akan berdepan kerugian besar sekali gus hilang sumber pendapatan.

“Kita sudah tengok apa yang berlaku pada musim lepas di mana saya boleh katakan ia satu perkara tidak dijangka apabila saingan liga berlangsung separuh musim sahaja dan lebih teruk, Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.

“Tahun ini belum apa-apa lagi, pra musim sudah terkena tempias disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi saya harap dan menyeru kepada pihak-pihak yang terlibat dapat membuat keputusan yang lebih rasional agar industri bola sepak tidak dipandang ringan meskipun dalam situasi pandemik sekarang.

“Ini kerana, mereka yang berada dalam industri ini seperti barisan pemain, pegawai serta jurulatih juga sama seperti sektor-sektor lain yang turut mencari rezeki dan ini merupakan pekerjaan mereka, apatah lagi ia melibatkan banyak aspek penajaan.

Azraai Khor Abdullah
Sumber Gambar: MUSA

“Saya harap pertimbangan yang sewajarnya dapat diberikan kepada saingan Liga Malaysia agar ia tidak lagi tertangguh dengan lebih lama dan dapat meneruskan persiapan dengan lebih baik selepas ini,” jelas bekas pengendali Kedah ini yang pernah membimbing Lang Merah sehingga lakar sejarah mencipta kejuaraan Treble pada musim 2007 dan 2008.

Pada minggu lalu, Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 4 Februari sebelum Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pengumuman semalam PKP dilanjutkan lagi sehingga 18 Februari.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Sabah Semakin Hampir Lengkapkan Perpindahan Saddil Ramdani Dan Levy Madinda

UAE Jadi Pilihan Sebagai Tuan Rumah Kelayakan Piala Dunia 2022

Hanelang FC Masih Belum Jelaskan Tunggakan Gaji Pemain Selepas 3 Tahun Diarahkan Oleh FAM