Bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Azlan Mubin berkongsikan pengalaman hebatnya ketika berhadapan dengan tekong ulung Thailand, Suebsak Phunsueb.

Suebsak nyata cukup terkenal dengan kepakarannya ketika melakukan servis kuda di zaman kegemilangannya sehingga menjadikan ia sebagai senjata ampuhnya untuk menundukkan lawan terutamanya bagi seteru ketat, Malaysia.

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan kehadiran anak kelahiran Ratchaburi itu membarisi skuad sepak takraw Thailand pada tahun 1998 juga menjadi antara titik tolak kebangkitan negara tersebut.

Selepas Malaysia menguasai Sukan Asia 1990 dan 1994 dengan memenangi pingat emas, Suebsak dan rakan-rakan telah mengubah senario tersebut di tempat sendiri [Sukan Asia 1998] sehingga mendominasi empat edisi berturut-turut dalam kariernya.

Sehubungan dengan itu, Azlan yang seringkali beraksi menentang Suebsak di pentas antarabangsa turut mengakui mengambil masa yang lama untuk menghilangkan rasa gugup apabila berhadapan dengan Suebsak.

”Mula menyertai skuad senior pada 2003, saya mengambi masa kira-kira tiga-empat tahun juga untuk menghilangkan rasa gementar apabila berdepan dengan Suebsak.”

“Pada ketika itu walaupun kalah tetapi kami mampu bersaing hebat terutamanya ketika Sukan Asia 2006 di Doha. Secara psikologinya, saya perlu tenang dan bila kita ‘rileks’, kita akan boleh berhadapan dengan Suebsak.”

Selain itu, Azlan yang bersara daripada skuad negara pada tahun 2007 ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) kedua-dua belah lutunya tanpa berselindung begitu menyanjung tinggi kemampuan bekas pemain berusia 45 tahun itu.

Wajah dan fizikal terkini Suebsak yang merupakan Anggota Polis. Kredit Foto: JO Suebsak

“Suebsak memang jadi tumpuan kalau kita bertemu dengan Thailand. Sejujurnya kami akan risaukan kemampuannya walaupun menyedari Thailand masih mempunyai ramai lagi tekong berkualiti.”

“Pendapat peribadi saya, dia mempunyai satu karakter sebagai penggerun buat pemain atau pasukan lawan,” ujar Azlan bercakap kepada wakil Vocket FC.

“Berkemungkinan besar menjadi kebiasaan di Thailand, mereka akan melatih para pemain untuk mempunyai karakter mereka yang tersendiri seperti ditunjukkan oleh Suebsak.”

“Setiap kali turun ke gelanggang, dia akan membawa karakter sebagai seorang yang cukup garang. Begitu juga keadaannya sewaktu beraksi.”

“Memang pada zaman kemuncaknya, kalau dia nak mencari sasaran A, bola servis daripada Suebsak memang akan tepat ke sasaran yang dimahukannya. Dia boleh susun servisnya dekat mana-mana sasaran.”

“Kehebatan Suebsak ini adalah kerana fizikalnya yang tinggi dan servis dia begitu laju. Dia juga boleh servis ‘drop’ dan macam-macam variasi lagi untuk menyukarkan pemain pasukan lawan.”

“Oleh sebab itu, dia ada banyak pilihan untuk melakukan servis. Rasanya memang tiada lagi tekong lain di Thailand dapat tandingi kehebatannya.”

“Perkara yang cukup susah nak hadap servis Suebsak ini adalah kerana kelajuan servis itu dan dia juga boleh ikut banyak sasaran. Jadi, ia sangat mencabar buat para pemain untuk menghadapinya. Pemain perlu fikir dan fokus terhadap kelajuan serta perlu membaca arah servis tersebut.”

“Servis dia boleh dikatakan begitu konsisten. Konsisten membawa maksud dia susah untuk melakukan sebarang. Itulah kelebihan dia. Jarang kita nak tengok dia buat kesilapan dan servisnya tersangkut di jaring,” tambah Azlan Mubin lagi.