Ketua jurulatih Perlis United, Azizul Abidin memuji barisan pemainnya yang mengikut arahan taktikal selain faktor rezeki dan tuah menyebelahi mereka dalam mencipta kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan berharga tersebut juga menjadikan Perlis United sebagai satu-satunya pasukan dalam saingan Liga M3 yang berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA Malaysia 2022.

Dua jaringan menarik Perlis United pada aksi yang berlangsung malam tadi itu terhasil menerusi sepakan percuma Azrizan Ahmad pada minit ke-25 dan Faizal Kadir melengkapkan malam gemilang mereka dengan gol jarak jauh ketika aksi hanya menunggu masa untuk ditamatkan.

Penjaga gol, Hairol Fazreen Abu Hassan juga menjadi antara watak penting buat Perlis United apabila beliau bertindak cemerlang dalam menyelamatkan sepakan penalti yang diambil pemain import PDRM, Mirbek Akhmataliev pada minit ke-71.

“Ini semua berkat usaha pemain-pemain apabila berjaya mengikut perancangan yang diatur apabila mereka dapat memadatkan bahagian tengah untuk menyukarkan gerakan pemain lawan,” ujar Azizul menurut laporan dikeluarkan Malaysian Football League.

“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan walaupun kami ketahui PDRM sebuah pasukan yang bagus, disiplin serta usaha keras pemain membawa kami ke sini.

“Memang rezeki nyata berpihak kepada kami apabila penalti yang dimiliki PDRM dapat diselamatkan penjaga gol.

“Di pusingan seterusnya, kita memang mahu jumpa pasukan yang lebih baik bagi berikan pengalaman kepada pemain muda kerana dengan cara sebegini, mereka boleh lagi meningkat.

“Saya juga mahu rakamkan penghargaan kepada penyokong Perlis yang sentiasa mendokong kami sejak hari pertama berlatih malah ada yang berikan sumbangan peribadi demi kemajuan pasukan,” ujar Azizul Abidin.

Dalam saingan Liga M3, Perlis United sedang menghuni tangga keenam selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu kemenangan dan satu kekalahan.

Pasukan dari utara tanah air itu akan berkunjung ke Padang PCRC, Ipoh pada Ahad ini untuk bertemu Respect FC.

Teruskan membaca artikel lain mengenai bola sepak seluruh dunia seperti dibawah.

Dion Cools Anggap Skuad Kebangsaan Tampilkan Prestasi Cemerlang

Pogba Alami Depresi Kerana Mourinho

Perlawanan Persahabatan: Era Baharu Harimau Malaya Bermula Dengan Langkah Kanan