Penyerang muda, Azhad Harraz Arman tekad untuk bangkit daripada kecederaan bagi membantu skuad bawah 19 tahun (B-19) negara meraih kejuaraan dalam ‘4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022’ yang akan membuka tirainya pada 7 Ogos nanti di Vietnam.

Keyakinan tersebut disuarakan anak kelahiran Sabah itu bagi menebus kehampaan yang menyaksikan beliau terlepas peluang untuk beraksi di Jakarta (Kejuaraan AFF B-19 2022), bulan lalu ekoran kecederaan bahu dialaminya.

Meskipun difahamkan kecederaan tersebut masih belum pulih sepenuhnya, Azhad yang mencuri tumpuan pada musim lalu susulan aksi cemerlang ditampilkan ketika bersama Skuad Projek FAM-MSN melihat ini peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan dirinya.

“Secara peribadinya saya mensasarkan untuk menjuarai kejohanan ini kerana kita sudah memenangi Piala AFF baru-baru ini.”

Azhad Harraz ketika bersama Skuad Projek FAM-MSN. Kredit Foto: Malaysian Football League

“Sudah pastinya ada tekanan tetapi kami harus bekerja keras dan tidak boleh mengambil mudah saingan daripada pasukan lain,” ujar Azhad ketika bercakap kepada media di Wisma FAM.

“Saya akan cuba berikan yang terbaik pada kejohanan ini untuk merebut tempat dalam pasukan kerana terlepas kejohanan sebelum ini.”

“Ianya bukan rezeki saya tetapi ini adalah masa buat saya buktikan kemampuan walaupun terpaksa masih belum pulih sepenuhnya,” tambah Azhad Harraz lagi.

Seperti yang dilaporkan semalam, pengendali pasukan, Hassan Sazali Waras membariskan sebahagian besar muka baharu untuk beraksi dalam kejohanan jemputan anjuran Konfederasi Bolasepak Vietnam (VFF) untuk memberikan lebih banyak pilihan buatnya dalam memilih barisan terbaik untuk beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Mongolia, bulan depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Piala FA 2022: Nik Sharif Mahu Buktikan Sesuatu Kepada Selangor

Pengadil Tempatan Tidak Dibenarkan ‘Bercakap’ Kepada Media Tanpa Kebenaran FAM

Fabregas Kini Bergelar Pemain, Pemegang Saham Kelab Milik Rakyat Indonesia