Penyerang muda negara, Azhad Harraz dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana Azhad Harraz ditawarkan kontrak selama dua tahun dan sekiranya beliau menyertai Sabah, pemain ini akan dihantar semula ke Skuad Projek FAM-MSN secara pinjaman untuk memperoleh minit bermain yang mencukupi.

Azhad menjadi antara penyerang tempatan yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Premier dimana beliau menjaringkan 8 gol, hanya dibezakan satu gol dengan Nurshamil Abdul Ghani yang muncul sebagai penjaring terbanyak pemain tempatan dalam saingan divisyen dua negara itu.

Meskipun beraksi dengan pasukan yang baru saja dibentuk dan rakan sepasukan berada dalam kategori umur yang sama dengannya, namun perkara itu tidak menghalang untuk Azhad menampilkan prestasi terbaik.

Aksi cemerlang bersama skuad Projek FAM-MSN juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, Brad Maloney untuk menyenaraikan beliau dalam pasukan yang menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 Tahun di Ulaanbaatar, Mongolia bulan lalu.

Azhad diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand yang mana keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Sabah dilihat serius dalam melakukan persiapan bagi menghadapi saingan musim 2022 dimana mereka dikaitkan dengan perpindahan beberapa nama besar dalam saingan Liga Malaysia.

Antara pemain yang dikaitkan dengan kelab dari Borneo itu ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali selain dua pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia iaitu Irfan Fazail dan Khairul Fahmi Che Mat.

Musim hadapan, Datuk Ong Kim Swee masih lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan setelah jurulatih itu mengambil alih tugasan dari Kurniawan Dwi Yulianto pada pertengahan musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Baddrol Bakhtiar Dan Rizal Ghazali Bakal Sertai Sabah Musim Hadapan

Tomáš Trucha Belum Ditawarkan Kontrak Lanjutan

Darren Lok Kekal Bersama Petaling Jaya City Musim Hadapan