Pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad tidak mengalami kecederaan serius dan beliau sudahpun dibenarkan keluar dari hospital setelah menerima rawatan.

Azam dilarikan ke hospital setelah beliau berlanggar dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham pada aksi kumpulan B di Stadium Thien Truong semalam yang menyaksikan Malaysia berjaya menewaskan pemenang pingat emas 16 kali itu dengan keputusan 2-1.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan pada minit ke-62 dan beliau terus dikeluarkan dan dilarikan ke hospital bagi membolehkan pemain itu menerima rawatan lanjut.

Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney bergegas ke hospital daerah Nam Dinh bagi melihat keadaan pemainnya selepas perlawanan menentang Thailand tamat.

“Ketua jurulatih Harimau Malaya B-23, Brad Maloney bergegas ke Hospital Province Nam Dinh, Vietnam selepas perlawanan malam tadi bagi melihat keadaan pemain pertahanan, Azam Azmi Murad.

“Azam yang mengalami kecederaan di kepala akibat terhantuk dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham pada minit ke-62, bagaimanapun telah pun dibenarkan keluar hospital.

Danial Asri dan Azfar Fikri Azhar menjadi wira pasukan negara apabila menjaringkan dua gol pada separuh kedua sekaligus memberikan tiga mata kepada Harimau Malaya.

Danial Asri menggunakan pehanya untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi bagi kembali mengikat kedudukan.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain skuad negara dan mereka hampir menambah dua jaringan tetapi rembatan Safwan Mazlan dalam kawasan penalti dan tandukan bebas Hadi Fayyadh melewati palang gol.

Azfar Fikri Azhar akhirnya muncul wira buat skuad negara apabila rembatannya ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol berjaya membolosi gawang Thailand yang dikawal Kawin Thammasatchanan untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

ACL 2022: Chanathip Terkilan Kawasaki Frontale Gagal Lepasi Peringkat Kumpulan

Sukan SEA: Shin Tae-yong Tak Puas Hati Vietnam Sedia Padang Latihan Buruk