Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Azam Azmi Murad menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab beliau, Terengganu beberapa hari sebelum saingan Liga Super musim 2023 bermula.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Azam menandatangani kontrak lanjutan yang bakal menyaksikan beliau menyarung jersi Terengganu sehingga musim 2025.

Sejak dua musim kebelakangan ini, Azam Azmi Murad menjadi antara tonggak utama kelab Pantai Timur itu di bahagian pertahanan terutamanya ketika dibimbing oleh Nafuzi Zain.

Work rate ketika menyerang dan bertahan selain kepantasan yang dimiliki oleh pemain berusia 22 tahun ini menjadi faktor utama mengapa beliau sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kecemerlangan Azam turut mendapat perhatian daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dimana beliau memanggil Azam untuk beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Kejadian paling diingati ialah ketika perlawanan kumpulan B menentang Vietnam dimana beliau terlibat dalam dua insiden panas dengan pemain pertahanan lawan iaitu Doan Van Hau.

Pada separuh masa pertama, Azam disiku oleh Van Hau di bahagian dada sehingga menyebabkan pemain itu mengalami kesakitan namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti mahupun sebarang kad kepada Van Hau.

Pada separuh masa kedua pula, Azam dilayangkan kad merah dimana pengadil menganggap pemain itu mengasari Van Hau namun hakikatnya tiada sebarang kekasaran yang dilakukan oleh pemain itu.

Saingan Liga Malaysia musim 2023 sekali lagi menjadi peluang untuk Azam bagi mengukuhkan lagi kedudukan beliau di Terengganu selain mengintai tempat dalam skuad kebangsaan.

Tahun ini, pasukan negara bakal mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dalam kalendar FIFA sebagai persediaan untuk menghadapi temasya Piala Asia tahun hadapan.