Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Azam Azmi Murad digantung dua perlawanan dan didenda USD1000 selepas insiden yang membabitkan beliau dan pemain Vietnam, Doan Van Hau ketika aksi kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 minggu lalu.

Perkara ini dikongsikan oleh Flash Sukan dimana menerusi mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Etika Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mendapati Azam bersalah dalam insiden kekasaran pada aksi yang berlangsung di Stadium My Dinh.

Selain itu, Azam Azmi juga perlu membayar denda sebanyak USD1000 yang mana perlu dijelaskan dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan yang dibuat iaitu pada 2 Januari 2023.

Keputusan ini dianggap tidak masuk akal dimana dalam insiden tersebut, Azam tidak melakukan sebarang kesalahan dan Van Hau hanya melakukan simulasi.

Bekas ketua jurulatih Perak dan TRW Kelantan, Steve Darby turut mengecam tindakan Van Hau ke atas Azam pada separuh masa pertama dimana beliau menganggap pemain itu melakukan satu kesilapan yang bodoh.

“Saya mempunyai pendapat saya sendiri dengan pengalaman sebagai pemain dan jurulatih, tetapi saya juga menghubungi pengadil FIFA mengenai situasi kontroversi Doan Van Hau. Adakah peminat Vietnam mahu menang, atau beraksi dengan baik tetapi kalah? Saya rasa kebanyakan dari mereka mahu menang dan tidak kisah bagaimana mereka menang.

“Pengalaman saya dengan bola sepak profesional ialah anda perlu melakukan segala yang anda boleh untuk menang, dan semuanya terpulang kepada pengadil. Kadangkala pasukan akan dimaafkan oleh pengadil, tetapi kadangkala dihukum secara tidak adil.

“Saya rasa Malaysia harus diberikan penalti dalam situasi ini, kerana Van Hau melakukan kesilapan bodoh. Inti dari situasi itu ialah Van Hau memandang pemain Malaysia itu sebelum menyiku lawan. Pengadil jelas melakukan kesilapan dengan tidak meniup penalti, malah penolong pengadil yang berdiri di sisi juga bersalah kerana dia berdiri berdekatan.

Menurut Darby, Van Hau juga bersalah ketika menyiku seorang lagi pemain pertahanan negara, Sharul Nazeem dan Vietnam tidak sepatutnya diberikan sepakan penalti ketika insiden membabitkan Van Hau dan Azam di luar padang.