Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih melakar sejarah dalam karier bola sepaknya apabila membuat penampilan yang ke-200 bersama Sri Pahang ketika perlawanan Liga Super 2023 menentang Perak semalam.

Meskipun mendapat pelbagai tawaran daripada pasukan lain, pemain yang berusia 28 tahun itu masih setia bersama skuad Tok Gajah sejak menyertai kelab tersebut pada tahun 2015.

Dedikasi, komitmen, aspirasi dan kesetiaan ditunjukkan oleh Azam Azih sepanjang 10 musim menyarung jersi Sri Pahang dikagumi oleh para penyokong setia Tok Gajah.

Berdasarkan rekod yang dikongsi oleh HarimauMyStats, Azam telah bermain sebanyak 132 perlawanan Liga Super, 35 perlawanan Piala Malaysia, 23 perlawanan Piala FA dan 6 perlawanan Piala AFC bersama Sri Pahang.

Antara pencapaian terbaik pemain itu bersama Tok Gajah ialah menjuarai Piala FA pada tahun 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0.

Bekas pemain import Pahang, Damion Stewart sebelum ini menyatakan Azam mempunyai kualiti seperti pemain import dan layak bermain di luar negara.

“Sejak hari peryama Azam Azih berlatih bersama kami, pemain ini tidak seperti pemain tempatan lainnya dan beliau mempunyai kualiti seperti pemain import. Saya berharap Azam diberikan peluang untuk beraksi di luar Malaysia satu hari nanti,” kata Damion.

Kecemerlangan Azam Azih itu turut diteruskan dalam aksi bertemu Perak semalam apabila hantarannya kepada Zuhair Aizat berjaya menghasilkan gol ketiga sekaligus menghadiahkan 3 mata penuh kepada Sri Pahang dengan keputusan 3-0.

Dalam perlawanan itu, dua lagi gol dijaringkan oleh Kpah Sherman dan Stefano Brundo. Kemenangan itu merupakan permulaan terbaik Sri Pahang untuk 5 perlawanan pertama sejak Liga Super 2019.

Sepanjang sejarah Liga Super, hanya 3 musim Tok Gajah mencatat rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan awal, iaitu 2004 (Juara), 2019 (Naib Juara) dan musim ini.

Kini Azam Azih mempunyai misi yang lebih besar iaitu merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala Asia tahun depan.

Namanya turut dipilih dalam senarai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula 18 Mac 2023 ini.

Kem latihan itu adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.