Pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias tidak mahu mimpi ngeri berulang pada musim ini apabila ingin bebas daripada kecederaan bagi mendapatkan kembali momentum di pentas Liga Super.

Tiga kali berdepan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sudah cukup perit buat pemain berusia 26 tahun ini dan tidak dapat membayangkan sekiranya kecederaan itu kembali menghantui pada musim ini.

Mengakui ia bukan mudah untuk kembali cergas dalam satu masa yang singkat, namun percaya prestasinya akan kembali pulih sekiranya terus diberi peluang untuk beraksi sebaik sahaja sepak mula pada 4 Mac depan.

“Saya sebenarnya dah mula masuk padang berlatih sejak TM Piala Malaysia pada musim lepas, cuma tidak diberi peluang bermain sahaja.

“Jadi, daripada situ saya cuba untuk mendapatkan balik kecergasan yang terbaik sebab dah satu musim tidak bermain.

“Cuma selain saya ingin rebut tempat, yang menjadi keutamaan adalah saya tidak mahu cedera teruk seperti itu lagi.

“Cukuplah tiga kali saya berdepan ACL, kalau nak kena kali keempat lagi, tak tahu la nak buat macam mana dah, memang rugi apabila satu musim tidak dapat bermain”, jelasnya.

Kali pertama Azalinullah Alias berdepan kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika bersama Harimau Muda C dan seterusnya kecederaan kembali berulang pada musim 2019 sebelum terpaksa melupakan saingan Liga Super 2021 ekoran kecederaan sama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Video Aksi ‘Katok Orang’ Cemarkan Perlawanan Terengganu FC II Bertemu Penang FC, Muka Adib Ra’op Berdarah

FAM Sudah Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Hakim Ziyech Umum Persaraan Daripada Pentas Antarabangsa