Pasukan Australia menjadi wakil Asia pertama yang mara ke pusingan 16 pasukan terakhir dalam temasya Piala Dunia 2022 setelah menewaskan Denmark pada aksi peringkat kumpulan D dengan keputusan 1-0.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub, tidak banyak aksi menarik pada separuh masa pertama dimana kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan namun dikecewakan oleh penyudah yang tumpul di bahagian serangan.

Peluang terbaik untuk jaringan pembukaan hadir menerusi percubaan pemain pertahanan Denmark, Joakim Mæhle pada minit ke-19 namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol Australia, Mattew Ryan. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, wakil Asia itu tampil lebih garang dan mereka berjaya menjaringkan gol pertama permainan menerusi Mathew Leckie pada minit ke-60.

Pemain sayap Melbourne City FC itu melakukan larian solo sekaligus melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan Kasper Schmeichel di pintu gol Denmark.

Tersentak dengan jaringan Leckie, skuad bimbingan Kasper Hjulmand menggandakan asakan ke kubu lawan namun barisan pertahanan Australia menunjukkan disiplin yang tinggi ketika bertahan sekaligus berjaya mengekang segala asakan Denmark.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil dan skuad bimbingan Graham Arnold itu berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Kali terakhir skuad Socceroos mara ke pusingan kalah mati dalam temasya Piala Dunia ialah pada edisi 2006 dimana ketika itu mereka tewas kepada Itali dengan keputusan 1-0. Gol tunggal pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Francesco Totti menerusi sepakan penalti.

Satu lagi perlawanan kumpulan D melibatkan Tunisia menentang juara bertahan, Perancis dimana Les Blues tewas dengan keputusan 1-0 namun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak kumpulan D. Perancis muncul sebagai juara kumpulan.