Ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15), P. Maniam mengakui tugas sukar sedang menanti anak buahnya apabila bakal menentang Australia pada aksi ketiga kumpulan B, Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 15 Tahun (B-15) petang ini.

Selepas mencatat dua kemenangan ke atas Brunei (8-0) dan Kemboja  (2-0), pemain muda negara akan berdepan ujian sebenar memandangkan Australia merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

67482865_2282880318643763_1314153546106535936_o
Barisan pemain skuad Malaysia B-15. FOTO: FA Thailand

Bagaimanapun, Maniam yakin pemainnya mampu melakar kejutan berdasarkan prestasi mereka ketika mengejutkan Iran dan Korea Utara dalam kejohanan jemputan di China pada minggu lalu.

“Aksi pada hari ini (kelmarin) pemain saya berjaya mempamerkan prestasi terbaik mereka sekaligus mengekalkan momentum kemenangan biarpun saya akui mereka terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan.

“Apapun beberapa bahagian jentera pasukan perlu diperkemaskan khasnya bahagian pertahanan dan serangan bagi memberi lebih saingan kepada lawan seterusnya (Australia) yang memiliki kelebihan aspek fizikal,” katanya seperti dipetik dalam Sukan Sinar.

67401955_2433151356922358_5890978225525358592_o
FOTO: FA Cambodia

Pada aksi menentang Kemboja, skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke 63 untuk memperolehi jaringan pertama melalui Muhammad Izrin Ibrahim. Tiga minit kemudian, Aliff Izwan menambah gol kedua melalui sepakan percuma sekaligus mengesahkan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.

Malaysia berpeluang mengukuhkan kedudukan ditangga teratas dalam kumpulan B jika menewaskan Australia petang ini sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Sumber