Australia menewaskan Peru pada penentuan sepakan penalti awal pagi tadi bagi memastikan tempat pada pusingan akhir Piala Dunia 2022. Mereka merupakan pasukan keenam dari Asia yang akan beraksi di saingan berprestij itu selain Qatar, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi.

Aksi playoff antara pasukan kelayakan Asia dan Amerika Selatan itu berkesudahan seri tanpa jaringan selepas 120 minit dan hanya ditentukan apabila pemain Peru, Alex Valera gagal menyempurnakan penalti keenam yang memberikan Australia kemenangan 5-4 di Stadium Ahmad bin Ali dekat Doha.

Australia yang menduduki ranking ke-42 dunia, meraih penampilan keenam pada Piala Dunia dan beraksi pada pembukaan Kumpulan D menentang juara bertahan, Perancis pada 22 November.

Peru yang berada di kedudukan ke-22 senarai FIFA dan menewaskan Australia 2-0 pada aksi kumpulan Piala Dunia 2018 mendapat sokongan 10,000 penyokong, sebahagian besar terbang mengelilingi dunia bagi menyaksikan perlawanan itu namun kecewa.

Pemain Australia, Martin Boyle gagal menyempurnakan penalti pertama namun semua yang lain berjaya. Penjaga gol simpanan Australia, Andrew Redmayne sempat menari di garisan gol untuk mengelirukan pemain Peru.

Penjaga gol itu berkata dia bukanlah hero, hanya memainkan peranan untuk mencipta penampilan kelima berturut-turut di Piala Dunia.

Penjaga gol berusia 33 tahun itu yang pernah cuba menyertai Arsenal ketika remaja, dimasukkan berbaki tiga minit permainan dan dia menyekat sepakan terakhir.

“Dia sangat bagus menyelamatkan penalti dan saya melakukan sesuatu yang mampu memberikan kesan kepada mental mereka,” kata jurulatih Graham Arnold.

“Mereka mungkin bertanya soalan, ‘kenapa pemain ini dibawa masuk, dia mesti bagus’.

“Mungkin sebab itu mereka menyepak ke palang. Ia usaha satu peratus untuk mendatangkan masalah kepada pemain Peru. Ia risiko tetapi menjadi,” tambahnya. – AGENSI

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Asia 2023: Palestin Berpesta Gol Belasah Filipina 4-0

Supachok Sarachat Lengkapkan Perpindahan Ke Consadole Sapporo

Pemain Tengah Thailand, Sanrawat Dechmitr Sah Sertai Kedah Darul Aman