Lebih 35,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Sultan Ibrahim pada hari Sabtu ini, 15 Oktober untuk meraikan sambutan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas perlawanan terakhir Liga Super 2022 menentang Sabah.

Lebih menarik, ia turut disertai oleh atlet-atlet cemerlang SUKMA Johor selain pasukan JDT II, Akademi JDT, Pasukan Hoki Ais JDT, Johor Jewels (Bola Jaring), Johor Tigris (Sepak Takraw) dan pemain-pemain ragbi negeri.

Ianya adalah tahun kejayaan sukan bagi negeri Johor dan JDT akan meraikan kesemua pasukan-pasukan pemenang ini di Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan yang luar biasa.

Kontinjen SUKMA Johor 2022 telah memenangi 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa untuk muncul juara keseluruhan buat pertama kali dalam sejarah 36 tahun temasya itu.

Juga pada tahun 2022, pasukan Hoki Ais JDT telah memenangi Weekend Warriors League, Johor Jewels membawa pulang Sooka Netball Super League, Johor Tigris pula menjuarai Piala Tun Ali manakala skuad ragbi memenangi empat kejohanan peringkat umur.

JDT II juga tidak kurang hebatnya apabila memenangi Liga Premier Malaysia 2022 manakala Akademi JDT memenangi tujuh piala peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Piala Presiden Bawah 21 tahun oleh JDT III.

Secara keseluruhan, JDT telah memenangi 11 trofi pada 2022 dengan pasukan senior memenangi ketiga-tiga pertandingan yang ada setakat ini — Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Sambutan kali ini adalah berlainan sama sekali. Ianya malam di mana bukan sahaja hanya menyambut kejuaraan kesembilan berturut-turut Liga Super Malaysia, tetapi turut meraikan tahun 2022 yang penuh gemilang buat Harimau Selatan dari pasukan senior hingga junior.

Penyerahan trofi dan acara sambutan akan bermula sejurus wisel penamat perlawanan menentang Sabah dengan pertunjukan bunga api, persembahan lampu-lampu, persembahan artis serta pelbagai lagi aktiviti yang akan disajikan untuk menandakan detik bersejarah ini.

Para penyokong Harimau Selatan yang tidak berkesempatan ke stadium boleh menyaksikan siaran langsung di saluran RTM, Unifi dan juga di saluran YouTube JDTTV.

Terdapat juga ‘viewing party’ di daerah-daerah negeri Johor yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah.