Penang FC bangkit daripada ketinggalan satu gol apabila berjaya menundukkan Perak 2-1 pada aksi keenam Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Tiga mata penuh diraih itu menyaksikan skuad kendalian Thomas Trucha tersebut melonjak ke tangga keempat selepas mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.

Manakala Perak kini menghuni tangga kesembilan selepas hanya mencatatkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan untuk mencatatkan 5 mata.

Casagrande Anselmo Arruda Da Silva hampir meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit keempat tetapi tandukan dilakukannya dihalang Shahrul Mohd Saad lalu bola terkena palang gol.

Kedudukan berubah pada minit ke-12 apabila Raianderson Da Costa Morais (Careca) dengan mudah menanduk masuk bola hasil kesilapan penjaga gol Penang, Sam Somerville yang gagal menangkap bola hantaran lintang daripada Sergio Aguero.

Careca hampir menambah jaringan kedua tetapi rembatan kaki kiri diledakkannya hanya singgah di jaring tepi pintu gol Penang.

Berselang seminit kemudian, Casagrande menceriakan kem tuan rumah apabila tandukan susulannya berjaya menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk kembali menyamakan kedudukan.

Rafael Vitor muncul wira setelah tandukannya pada minit ke-71 berjaya menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad Penang FC meskipun Perak cuba untuk memberikan tekanan hebat terutamanya pada lewat permainan bagi mencari jaringan penyamaan.