Kapten Bhutan, Karma Shedrup Tshering, disahkan oleh pegawai pasukan negara itu, tiada dalam skuad Bhutan yang telah tiba di Kuala Lumpur bagi perlawanan antarabangsa A esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum perlawanan bertemu Maldives yang berlangsung minggu lalu, Karma telah memberitahu Vocket FC bahawa beliau tidak akan bersama skuad Bhutan ke Kuala Lumpur kerana komitmen kerja beliau sebagai seorang juruterbang.

Ketika ditanya mengenai Karma kepada pegawai pasukan selepas sidang media yang berlangsung di Wisma FAm tengahari tadi, mereka memberitahu Karma diperlukan oleh syarikat penerbangan Druk Air untuk menerbangkan pesawat disebabkan tidak mempunyai pengganti Karma jika beliau bersama pasukan kebangsaan.

29665287_1955821351394527_7075454669126260547_o

Selain itu, pihak kami juga diberitahu, Druk Air telah memberikan terlalu banyak pelepasan kepadanya dan memikirkan mengenai tugasan bersama pasukan kebangsaan sepanjang tahun 2018, mereka telah membuat keputusan untuk tidak memberikan pelepasan untuk perlawanan esok.

‘Ronaldo’ Bhutan Juga Tidak Menyertai Skuad Ke Malaysia

Satu-satunya pemain profesional Bhutan yang kini beraksi bersama Minerva Punjab FC dalam saingan I-League di India, Chencho ‘Ronaldo’ Gyeltshen juga disahkan tiada dalam skuad kerana tidak menerima pelepasan dari pihak kelab.

Perkara itu adalah disebabkan jadual perlawanan antarabangsa A diantara Malaysia bertemu Bhutan adalah diluar dari kalendar perlawanan antarabangsa FIFA seperti yang telah ditetapkan dari 19 hingga 27 Mac 2018.

DZjOe98XUAEkwPl

Selain itu, Minerva Punjab FC juga memerlukan khidmat pemenang anugerah penyerang terbaik I-League 2017-2018 ini untuk kejohanan The HERO Super Cup 2018 dimana pasukan ini dijadualkan bertemu Jamshedpur pada 2 April 2018 dalam pusingan 16 terbaik.