Debut Unai Emery sangat cemerlang dengan meratah Red Devils dalam kepulangan semulanya ke dalam kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Unai Emery memulakan debut rasminya bersama Aston Villa sebagai pengurus. Unai Emery diumumkan minggu lalu namun hanya boleh bertugas secara rasmi pada 1 November kerana isu permit kerjanya.

Bertempat di Villa Park, Unai Emery membimbing Aston Villa menjamu kunjungan Manchester United.

Megabintang Cristiano Ronaldo diberikan tempat dalam kesebelasan utama sekali lagi. Ronaldo mengetuai jentera serangan Manchester United yang turut dibarisi Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho di bahagian sayap.

Aston Villa di hadapan seawal minit ke-7 menerusi Leon Bailey yang menyambar hantaran Jacob Ramsey.

4 minit kemudian Lucas Digne menambah gol lagi untuk pasukan tuan rumah dengan rembatan daripada sepakan percuma yang sangat padu.

Ianya dilakukan dari jarak jauh untuk menewaskan De Gea dengan bola menuju ke sudut atas.

Manchester United mendapat peluang keemasan pada minit ke-34 menerusi Cristiano Ronaldo namun berjaya diselamatkan oleh Emi Martinez.

Sebelum wisel rehat, Manchester United merapatkan jurang gol. Jacob Ramsey terus menjadi watak yang menarik perhatian. Kali ini dia menjaringkan gol sendiri.

Separuh masa pertama berakhir dengan 2-1. Erik Ten Hag jelas sudah tak sabar untuk melakukan taklimat taktikal ketika anak anak buahnya masuk ke bilik persalinan.

Bersambung separuh masa kedua, Villa sekali lagi di hadapan pada awal babak. Kali ini Jacob Ramsey menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga pasukannya.

Pada minit ke-65, Ten Hag memasukkan 2 penyerang baharu iaitu Antony Martial dan Antony Elanga, mengeluarkan Garnacho dan Van De Beek.

Arahannya adalah mudah, untuk menambah lebih ramai pemain di unit serangan dalam usaha mereka mengejar defisit 2 gol.

Namun perubahan tersebut ternyata masih gagal mengubah nasib Manchester United di atas padang. Tamat perlawanan, debut Unai Emery menikmati kemenangan ke atas Erik Ten Hag.

Tiada tambahan gol daripada kedua dua pasukan selepas itu. Aston Villa menang bergaya 3-1 ke atas Manchester United

Ini adalah kemenangan pertama Aston Villa ke atas Manchester United di Villa Park sejak 27 tahun.