Ketua jurulatih interim Melaka United, Mohd Asri Ninggal berpendapat semangat berpasukan yang tinggi dipamerkan anak buahnya cukup membantu dalam mendapatkan tiga mata penuh pada aksi Liga Super Malaysia 2022 bertemu Penang FC, malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan skuad Hang Tuah berjaya mencatatkan kemenangan selesa 4-1 hasil jaringan Emmanuel Oti Essigba, Adriano Aparecido Narcizo, Ifedayo Omosuyi dan Justin Baas.

Kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya selepas Melaka United dihampakan pada saat akhir oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir Piala FA 2022 tempoh hari.

“Pertamanya saya nak ucapkan tahniah kepada pemain, terima kasih kepada mereka walaupun selepas kita kalah dengan JDT pada 23 Julai, mereka bermain dengan berhempas-pulas,” ujar Asri bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Jadi, dengan rehat tiga hari pada hari ini [malam tadi] mereka telah menunjukkan bahawa mereka inginkan sesuatu untuk perjalanan Liga Super dan mereka bermain bersungguh-sungguh sehingga minit yang terakhir.”

Kredit Foto: Melaka United Football Club

“Saya rasakan kredit harus diberikan kepada para pemain kerana sikap, tingkah laku dan fokus mereka sepanjang 90 minit permainan apabila kita bertemu dengan Penang.”

“Pemain bermain sebagai satu pasukan maknanya apabila kita hilang bola kita bertahan sebagai satu pasukan. Apabila kita menyerang, kita menyerang sebagai satu pasukan dan malam ini semangat berpasukan kita sangat bagus sekali,”

“Kemenangan ini bagus untuk pasukan kita kerana selepas ini kita akan bertemu Sabah di sana. Satu lagi perlawanan yang bukan mudah kerana Sabah terlalu kebal di Stadium Likas.”

“Jadi, saya merasakan ia merupakan satu cabaran besar buat kami nak berjumpa dengan Sabah pada 31 Julai nanti,” tambah Asri Ninggal lagi.

Selepas mengharungi 12 perlawanan liga setakat ini, Melaka United menghuni tangga keenam dengan mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Syamer Kutty Dihantar Ke Barcelona Jalani Pembedahan Lutut

Edu Dedah Arsenal Tak Berminat Dengan Pemain Dortmund Kerana Mata Duitan

Cordoba Futsal Umum Kehadiran Muhammad Osamanmusa Sebagai Rekrut Baharu