Pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Asnan Ahmad tidak lena dibuai pujian susulan aksi cemerlang yang ditampilkan dalam perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia sebaliknya mahu terus beri impak terbaik dalam memastikan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.

Pemain berusia 28 tahun ini menganggap ini masa yang tepat untuk terus mempamerkan persembahan terbaik terutamanya di pentas Piala Malaysia memandangkan kudratnya jarang dipertaruhkan dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun, Asnan percaya perjalanan kariernya pada tahun ini di landasan tepat dan tidak terburu-buru untuk mengejar minit permainan daripada awal sehinggalah pengendali, Aidil Sharin Sahak benar-benar meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membantu pasukan.

“Ini musim pertama saya di pentas Liga Super di mana ia adalah pengalaman baharu dapat beraksi dalam Piala Malaysia dan saya meraih pengalaman yang baik ketika bersama Terengganu pada awal musim sebelum kemudian berhijrah ke Kedah pula.

“Saya anggap ini rezeki dan perkembangan karier yang sangat baik untuk saya memandangkan baik Terengganu dan Kedah, dua-dua merupakan pasukan yang berkualiti.

“Kalau pasal kelibat saya di padang lambat mencuri perhatian, pada saya ia berkenaan dengan masa dan minit permainan, saya tidak ambil peduli dan lebih fikir bagaimana untuk saya terus meningkatkan prestasi diri untuk dinilai oleh jurulatih.

“Tidak kira cepat atau lambat sebab bagi saya perjalanan karier pada musim ini berjalan dengan sangat cantik”, jelasnya.

Asnan Ahmad. Kredit foto: JOHOR Southern Tigers.

Menjelang aksi malam ini di Stadium Sultan Ibrahim, bekas kapten UKM FC ini menyifatkan peluang adalah terbuka dan tiada kelebihan memihak kepada mana-mana pasukan untuk mara ke separuh akhir.

Jelasnya, pemain JDT seperti Arif Aiman, Leandro dan Safiq Rahim antara yang sentiasa menjadi ancaman kepada Kedah dan perlu diberi lebih perhatian untuk mengekang penguasaan daripada tuan rumah.

“Kita tahu JDT mempunyai penguasaan bola yang tinggi di atas padang dan kita kena lebih berwaspada dengan setiap kekuatan yang mereka ada.

“Kita kena lebih fokus untuk memastikan apa yang kita dah buat di Stadium Darul Aman tempoh hari dapat diteruskan dengan lebih baik di Stadium Sultan Ibrahim pula.

“Kalau nak bercakap pasal pemain JDT, mereka semua berkualiti, cuma daripada segi untuk menghasilkan peluang ke arah gawang gol lebih banyak datang daripada Arif, Leandro dan Safiq juga merbahaya apabila dimasukkan, jadi mereka ini kita perlu lebih berhati-hati”, tambah Asnan Ahmad lagi.

Malam ini penentuan ke separuh akhir TM Piala Malaysia akan terjawab dengan empat perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung dengan tiga lagi aksi membabitkan pertembungan Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Melaka United FC menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat dan Sarawak United FC berdepan Terengganu FC di Stadium UiTM.