Kelemahan di bahagian pertahanan sememangnya menjadi antara masalah yang dihadapi oleh pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Setakat perlawanan minggu ke-18 saingan Liga Super musim 2019, Selangor hanya mampu untuk mencatat 1 clean sheets.

Gandingan dua pemain import iaitu Taylor Regan dan Michal Nguyen di posisi pertahanan tengah dilihat gagal untuk menampilkan persembahan yang konsisten. Kedua-dua pemain seakan-akan sukar untuk mencipta gandingan mantap dimana Regan sering menutup segala ruang dan juga kesilapan yang dilakukan oleh Nguyen.

Taylor Regan
Sumber Gambar: FA Selangor

Pada perlawanan menentang Kuala Lumpur pada 15 Jun lalu, ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan membuat keputusan untuk merehatkan Nguyen dan menggandingkan Taylor Regan bersama Ashmawi Yakin di bahagian pertahanan. Perjudian Sathia nyata berbaloi apabila Mawi membentuk satu gandingan yang baik bersama Regan.

Pada perlawanan menentang Pahang semalam, Ashmawi sekali lagi diturunkan namun kali ini beliau digandingkan bersama Michal Nguyen. Pemain berusia 24 tahun itu berjaya mengekalkan prestasi semasa beliau apabila mengawal bahagian pertahanan Selangor dengan baik. Meskipun dibolosi dua gol pada separuh masa kedua, namun Mawi memastikan keputusan 5-2 kekal memihak The Red Giants.

Defend Selangor
Sumber Gambar: FA Selangor

Apa yang pasti, Ashmawi Yakin perlu diberi lebih banyak peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama pasukan Selangor. Jika mendapat minit bermain yang cukup, tidak mustahil dengan kehadiran Ashmawi kelopongan di bahagian pertahanan Selangor dapat diperbaiki.

Pemain berusia 25 tahun itu turut mempunyai potensi untuk menjadi pemain pertahanan terbaik bagi Selangor pada masa akan datang.