Massimiliano Allegri telah mengesahkan bahawa Arthur disisihkan daripada pasukan bukan kerana kecederaan. Sebaliknya kerana masalah disiplin.

Pemain Brazil itu datang lewat ke sesi latihan bermakna masalah di luar pemain yang dibeli Juventus dengan pakej keseluruhan €76 juta dari Barcelona itu – berterusan.

Arthur tidak pernah menjadi pemain regular dalam kesebelasan utama Juventus sejak menyertai pasukan tersebut. Dan hanya bermain 40 kali dalam semua pertandingan sejak 2020.

Dan di bawah kendalian Allegri pemain itu hanya bermain lapan kali sahaja musim ini.

Arthur merupakan pemain yang dibeli oleh Maurizio Sarri ketika menjadi pengurus. Namun pemain itu hanya dapat beraksi untuk Juventus ketika Sarri sudah pun dipecat dan digantikan oleh Pirlo.

Arthur yang ketika itu dianggap bakat sensasi tidak menepati langsung ramalan semua pihak. Dan dia secara terbuka menyatakan bahawa perpindahannya ke Juventus tidak begitu menyenangkannya.

Selain daripada aksi yang tidak konsisten, Arthur beberapa kali terlibat dalam masalah disiplin terutama sekali masalah lambat datang ke latihan.

Sebelum ini Arthur pernah digantung oleh Juventus kerana menghadiri parti di rumah Weston McKennie dan Paulo Dybala. Arthur turut melanggar peraturan lockdown pada ketika itu.

Menjelang aksi berdepan dengan Venezia, Allegri berkata: “Arthur agak malang kerana dia terlewat pagi ini, jadi dia tak akan tersenarai dalam skuad.”

“Lewat datang ke sesi pasukan, sehari sebelum perlawanan adalah bukan perkara yang boleh diterima. Jadi dia tak akan bersama sama dengan pasukan dalam lawatan ke Venezia. Dia akan kembali semula bersama kami pada Selasa.”

Kontrak semasa Arthur akan berakhir pada 2025. Namun Juventus sangat sukar menjual pemain ini untuk harga sekurang kurangnya €50 juta.

Juventus tidak sedia kerugian besar daripada Arthur. Tetapi berdasarkan situasi semasa, Juventus boleh rasa berterima kasih kalah ada pasukan yang sanggup membayar €25 juta. Mengambil kira faktor reputasi dan prestasinya.