Pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik, Arsenal dikejutkan oleh pasukan divisyen bawahan, Nottingham Forest dalam aksi pusingan ketiga Piala FA.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memohon maaf atas persembahan hambar pasukannya sehingga mereka tersingkir.

Lewis Grabban menyempurnakan hantaran lintang Ryan Yates — tujuh minit sebelum tamat untuk mengejutkan juara 14 kali – Arsenal.

Arsenal tampil dengan aksi yang sukar untuk dijelaskan oleh Arteta sendiri. Mereka turun dengan baju putih penuh sebagai kempen kesedaran – No More Red – satu kempen kesedaran ke atas jenayah tikam dengan pisau di London.

Di atas padang Arsenal gagal mempamerkan aksi yang diharapkan. Mereka melakukan banyak kesilapan dalam fasa build up.

“Kami tidak cukup bagus dan kami perlu memohon maaf untuknya,” kata Arteta.

“Kami memerlukan lebih banyak serangan, lebih banyak rasa lapar untuk menang dalam apa jua keadaan dalam setiap aksi. Kami tidak berada pada tahap kami.

“Pertama sekaliknya, saya benar-benar kecewa dengan persembahan kami.”

“Bukan saya kecewa dengan sikap pemain, tetapi sejauh mana matlamat yang kami ada dan kesungguhan yang kami tunjukkan untuk mengubah permainan apabila sukar untuk menentang cara pasukan lawan bermain.”

“Saya telah bermain dalam permainan seperti itu sejak 18 tahun yang lalu dan saya tahu betapa rumitnya untuk datang ke sini.”

“Mereka menang, mereka skor gol dan kami gagal. Kami tak cukup bagus pada hari ini, kami terkeluar daripada pertandingan ini, ianya sangat mengecewakan. Kami harus meminta maaf di atas apa yang berlaku.”

“Tidak mengejutkan kesukaran yang akan anda hadapi. Tetapi apabila kami melakukannya, kami perlu menghadapinya dengan cara yang berbeza.

Akhir sekali Arteta menegaskan bahawa, tersingkir awal daripada Piala FA adalah satu tamparan hebat kerana Arsenal memiliki sejarah yang sangat dekat dengan Piala FA. Mereka adalah pasukan paling banyak memenangi Piala FA sebanyak 14 kali.

Arteta berkata: “Ia benar-benar menyakitkan. Ia adalah pertandingan yang sangat berkaitan dengan sejarah kami dan untuk terkeluar awal daripadanya adalah satu tamparan yang besar.”