Kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal telah mengumumkan bahawa pemain tengah Norway, Martin Odegaard sebagai kapten sepenuh masa yang baharu mereka bermula musim 2022/23.

Sejak pemecatan Pierre Emerick Aubameyang pada pertengahan musim lalu, Arsenal tidak ada kapten tetap. Yang ada hanyalah pemain dari kelompok pemimpin.

Odegaard, 23, pertama kali tiba secara pinjaman dari Real Madrid pada Januari 2021 dan selepas itu dia menarik perhatian pengurus Mikel Arteta untuk terus bekerjasama dengannya.

Arsenal bertindak pantas untuk menjadikan perpindahan itu kekal, sebaik sahaja Real Madrid tidak menjamin kedudukan pemain itu dalam kesebelasan utama mereka. 

Odegaard kembali semula ke Arsenal menandatangani perjanjia tetap dengan harga sekitar €35 juta pada Ogos tahun lalu.

Perlawanan pertama Odegaard sebagai kapten tetap Arsenal menentang Sevilla dalam perlawanan persahabatan pramusim pada hari Sabtu di mana pasukan utara Utara London itu mengamuk dengan menewaskan kelab Sepanyol itu 6-0 di tempat sendiri, dengan pemain baharu mereka, Gabriel Jesus meraih hatrik.

Odegaard menyatakan bahawa dia sangat gembira dengan perlantikannya selaku kapten Arsenal.

Odegaardd berkata: “Sudah tentu saya gembira, bangga dan berterima kasih atas kepercayaan pengurus dan kerana dia mahu saya menjadi kapten.”

“Itu pencapaian besar bagi saya dan ia bagus untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang begitu baik, jadi saya akan menikmatinya, “kata Odegaard lagi.

Odegaard bukan orang asing yang memakai lilitan lengan kapten kerana dia telah menjadi kapten pasukan kebangsaan Norway sejak Mac tahun lalu.

Kini dia menjadi kapten termuda Arsenal sejak Cesc Fabregas yang dilantik menjadi kapten pada usia 21 tahun. Selain Odegaard, ada beberapa nama lagi dalam pertimbangan Arteta termasuk Aaron Ramsdale, dan Granit Xhaka.

“Dia mewakili nilai kelab bola sepak ini, rakan sepasukannya, kakitangan. Dia dihormati oleh semua orang di dalam kelab. Saya berbangga untuk mengumumkannya sebagai kapten,” kata Arteta selepas kemenangan itu.

Arsenal memulakan kempen Liga Perdana Inggeris mereka di Crystal Palace pada hari Jumaat.

Apakah harapan peminat Arsenal kepada kapten baharu anda?