Manchester City akhirnya berada di puncak Liga Perdana Inggeris selepas kalahkan Arsenal di Emirates dan memintas pesaing mereka itu.

Manchester City menang 3-1 ke atas Arsenal dalam perlawanan melibatkan 2 pasukan teratas liga.

Keputusan ini menjadikan pasukan Pep Guardiola menggantikan The Gunners sebagai pemimpin carta Liga Perdana Inggeris selepas 23 perlawanan.

Manchester City terlebih dahulu di hadapan menerusi Kevin De Bruyne pada minit ke-24 selepas kesilapan pertahanan Arsenal.

Namun begitu, The Gunners menyamakan kedudukan pada minit ke-41. Bukayo Saka menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Penalti itu diberikan selepas Ederson didakwa melakukan kekasaran ke atas Eddie Nketiah. Kem Manchester City membantah penalti tersebut kerana dianggap keputusan yang tak betul.

Separuh masa pertama berakhir 1-1 untuk kedua dua pasukan.

Bersambung babak kedua, Manchester City pula dihadiahkan sepakan penalti selepas Gabriel Maghalhaes mengasari Erling Haaland.

Tetapi penalti itu dibatalkan kerana Haaland didapati sudah ofsaid terlebih dahulu – hasil semakan semula di VAR.

Namun Manchester City tetap mendahului sekali lagi menerusi Jack Grealishย  pada minit ke-72.

Kredit kepada Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan yang berjaya mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Arsenal sekali lagi.

Deย  Bruyne melakukan hantaran kepada Gundogan yang terus menolak kepada Grealish untuk dirembat masuk oleh pemain antarabangsa Three Lions itu.

Selang 10 minit kemudian, Erling Haaland pula melakukan percubaan yang menerjah gawang dari dalam kotak penalti.

Manchester City akhirnya menewaskan Arsenal 3-1 di tempat lawan.

Ini adalah kemenangan ke-11 berturut turut City ke atas Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.

Satu keputusan yang sangat penting buat mereka selepas satu ketika berada 8 mata di belakang Arsenal.

Man City dan Arsenal kedua-duanya mengumpul 51 mata.

Namun Manchester City memintas Arsenal untuk berada di puncak kerana perbezaan jaringan lebih baik. Walaubagaimanapun, Arsenal masih ada baki 1 perlawanan dalam tangan berbanding dengan Manchester City.

Kelebihan itu boleh digunakan oleh Arsenal untuk kembali merampas kedudukan teratas.

Namun pada ketika ini, Arsenal harus bangkit semula selepas beberapa keputussan kurang memberangsangkan dalam 4 perlawanan terakhir mereka.

Pastinya Mikel Arteta mahu keadaan ini diubah segera!