Arsenal di puncak liga sekali lagi selepas aksi cemerlang menewaskan Liverpool.

Arsenal melayan kunjungan pasukan Liverpool. Dan ini adalah kali pertama sejak beberapa musim ini, Arsenal dianggap pasukan pilihan untuk menang berbanding Liverpool.

Arsenal pastinya mahu meneruskan prestasi cemerlang mereka musim ini selepas kemenangan cemerlang mereka pada aksi Derbi London Utara.

Hanya dalam masa 47 saat selepas sepak mula, Liverpool sudah ketinggalan di belakang menerusi gol Gabriel Martinelli yang menerima bola di belakang Trent Alexander Arnold.

Ianya berpunca daripada William Saliba yang memenangi bola dari bawah dan mencetuskan serangan balas segera.

Arsenal di puncak liga
Sumber Gambar: Reusters

Kedua dua pasukan kemudian bermain dengan permainan yang sangat terbuka.

Liverpool meminta penalti selepas bola terkena tangan Gabriel Maghalhaes namun pengadil dan VAR tidak memberikannya.

Liverpool kemudian berdepan dengan detik membimbangkan apabila Trent Alexander Arnold kelihatan mengalami kesakitan selepas Martinelli secara tak sengaja terpijak kakinya. Liverpool sedang menempuhi banyak senarai kecederaan.

Namun pemain tersebut dapat meneruskan permainan seperti biasa selepas menerima rawatan.

Pada minit ke-26, Darwin Nunez menguji Aaron Ramsdale buat pertama kali dengan rembatan deras dari kanan.

Seminit kemudian, Gabriel Jesus melakukan gelecekan bahaya dari kiri dan cuba menewaskan Alisson dari sudut sukar namun gagal.

Pada minit ke-30, William Saliba hampir tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran rendah kepada Luis Diaz. Tetapi Aaron Ramsdale bertindak cemerlang dan tangkas menepis bola.

Liverpool menguasai perlawanan lebih 60% tetapi tidak mencipta begitu banyak peluang keemasan.

Pada minit ke-34, Liverpool akhirnya mendapat gol penyamaan selepas mereka bermain fasa terbaik dalam 10 minit terakhir. Luis Diaz melorongkan bola rendah kepada Darwin Nunez yang terus menolak bola masuk.

Sebelum pengadil meniup wisel separuh masa, Arsenal kembali di hadapan. Kali ini menerusi Bukayo Saka yang menyempurnakan hantaran Gabriel Martinelli pada masa kecederaan.

Bersambung separuh masa kedua, Arsenal bermula dengan lebih dominan.

Martin Odegaard mendapat peluang keemasan dari dalam kotak penalti namun dia mempersia siakan peluang tersebut kerana rembatan lemah terus kepada Alisson.

Tidak lama selepas itu, Liverpool sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi – siapa lagi kalau bukan – Roberto Firmino yang memiliki reputasi sangat baik menentang Arsenal.

Firmino menerima hantaran Jota dan kemudian menyilangkan bola leret melepasi Ramsdale. Menjadikan dia sebagai pemain Liverpool pertama menjaringkan 10 gol ke atas Arsenal.

Arsenal kemudian tampil dengan lebih agresif menyerang dan bermain di kawasan Liverpool.

Pada minit ke-72, Ibrahim Konate menghadang bola Xhaka yang melintasi Alisson di depan garisan gol.

Tidak lama kemudian, Arsenal dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil merasakan Thiago menyepak Gabriel Jesus dari belakang.

Saka dengan tenang menyumbat penalti tersebut pada minit ke-76.

Tamat perlawanan Arsenal 3 Liverpool 2. Arsenal di puncak liga memintas Manchester City sekali lagi.