Legenda bola sepak Belanda, Arjen Robben memutuskan untuk menggantung but pada usia 35 tahun setelah menikmati pelbagai kejayaan yang gemilang di pentas tertinggi bola sepak eropah dengan pasukan Chelsea, Real Madrid dan Bayern Munich.

Beliau mula dikenali dunia ketika membantu Chelsea meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut pada tahun 2004 hingga 2006. Pencapaian hebatnya itu telah menarik minat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid untuk membawanya ke Santiago Bernabeu dan Robben berjaya bantu kelab tersebut menjarai La Liga pada musim 2007-08.

Bagaimanapun, pada tahun 2009, Real Madrid menjual Arjen Robben kepada kelab hebat dari Jerman, Bayern Munich walaupun beliau enggan meninggalkan Los Blancos. Meskipun berdepan beberapa siri kecederaan, Robben masih mampu melengkapkan karier gemilang selama 10 tahun di Allianz Arena.

Dia memenangi lapan gelaran Bundesliga di samping kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah 2012-13 dengan secara keseluruhannya telah melakukan 309 penampilan dalam kesemua kejohanan buat pasukan itu.

Keputusan paling sukar bagi Arjen Robben

Menurut kenyataan rasmi, Robben mengakui ini merupakan keputusan yang paling sukar dalam hidupnya dan beliau masih cintakan sukan bola sepak.

“Seperti yang diketahui ramai, saya mengambil sedikit masa selepas perlawanan terakhir bersama Bayern untuk memikirkan keputusan mengenai masa depan saya.

“Kini, saya telah memilih untuk menamatkan karier saya sebagai pemain profesional. Ini sememangnya keputusan paling sukar buat saya, keputusan di mana ‘hati’ dan ‘kepala’ saya bertengkar sesama sendiri.

“Kecintaan terhadap permainan dan keyakinan bahawa anda masih boleh menawan dunia, berlawanan dengan realiti yang tidak selalu berjalan seperti yang anda inginkan dan anda bukan lagi remaja berusia 16 tahun yang tidak tahu makna kecederaan.

“Buat masa ini, saya amat cergas dan sihat dan sebagai peminat kepada sukan-sukan lain, saya mahu kekal seperti ini.Pengunduran saya ini tetap, namun ia bagus untuk kekal seperti ini,” katanya.

Bersara dengan pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa

Sepanjang bersama Bayern Munich pada tahun ini, Robben masih mampu menjaringkan 144 gol termasuk enam daripada 19 perlawanan musim terakhirnya.

Selepas belanda gagal ke Piala Dunia 2018, Robben mengumumkan persaraan antarabangsanya. Ia merupakan pengalaman yang pahit bagi pemain itu kerana Belanda perlu menjaringkan 5 gol lagi untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan sebaliknya gagal melayakkan diri kerana kekurangan bilangan gol.

Beliau juga telah menjaringkan 37 gol daripada 96 penampilan antarabangsa sepanjang 14 tahun bersama skuad kebangsaan Belanda.

“Masih terlalu awal untuk mengimbau karier saya tetapi buat masa ini, hanya kebanggaan dan kesyukuran menguasai perasaan saya.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang waktu ini dengan seikhlas hati saya.

“Ibu bapa saya, kakak saya, keluarga, kawan, jurulatih peribadi saya, semua kelab, ahli pasukan, jurulatih, wartawan dan peminat. Setiap yang menyokong saya selama bertahun-tahun ini dan meletakkan saya di mana saya berada pada hari ini.

“Saya telah hidup selama 19 tahun untuk keghairahan ini. Ia menuntut mentaliti tertentu dan pasti mengambil banyak tenaga, terutama ketika sesuatu tidak berjalan seperti yang anda inginkan dan ketika anda perlu bangkit daripada waktu-waktu sukar.

“Atlet terbaik terkenal dengan sikap mementingkan diri dan saya pastinya tidak terkecuali.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya kerana sokongan yang tidak berbelah-bahagi, memahami saya dengan rasa cinta.

“Sudah tiba masanya untuk memulakan fasa baru dan saya tidak sabar untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak saya dan menikmati setiap perkara baik yang akan terus datang kepada kami,” tambahnya.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group