Peminat bola sepak tempatan akhirnya menarik nafas lega apabila bintang muda negara, Arif Aiman dan pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos kembali diturunkan dalam kesebelasan utama Liga Super menentang Sabah malam ini.

Khidmat dua pemain tersebut sebelum ini tidak dapat digunakan oleh skuad Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada hari selasa selepas apabila disahkan mengalami kecederaan hamstring dan buku lali.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Alistair Edwards dalam satu kenyataan menjelaskan dua pemain itu terpaksa kembali ke kelab untuk menjalani proses pemulihan.

“JDT telah dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Arif Aiman dan Endrick telah mengalami kecederaan. Pemeriksaan perubatan dari doktor Skuad Kebangsaan mengesahkan bahawa dua pemain ini tidak dapat beraksi untuk tempoh 6-7 hari.

“Arif pertama kali melaporkan kecederaan hamstringnya kepada doktor skuad kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan minggu lepas manakala Endrick dikeluarkan selepas separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali. Doktor skuad kebangsaan telah mengesahkan pada hari Ahad bahawa kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Hong Kong,” katanya.

Ternyata pasukan perubatan JDT berjaya memulihkan tahap kecederaan mereka dalam tempoh yang singkat dan kembali dengan tahap kecergasan sepenuhnya untuk aksi penting menentang Sabah malam ini.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan itu masih kekal di tangga teratas Liga Super dengan 15 mata maksimum tanpa kalah selepas mengharungi 5 perlawanan dan hanya dipisahkan 2 mata dengan pencabar terdekat, Sabah.

JDT juga ada misi besar yang belum diselesaikan. Mereka mahu cipta sejarah mendominasi saingan liga utama selama 1 dekad dengan muncul sebagai juara Liga Super kali ke 10 berturut-turut.

“Perlawanan menentang Sabah pada hari Jumaat ini merupakan satu perlawanan yang sukar memandangkan mereka juga mempamerkan prestasi yang baik selepas lima perlawanan pembukaan liga.

“Kami perlu fokus secara taktikal sepanjang 90 minit. Kami telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini tetapi masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan,” kata jurulatih JDT, Esteban Solari.

Berdasarkan persembahan awal musim ini, JDT tampak sukar digugat dan tidak mustahil trofi Liga Super akan terus berada dalam tangan Harimau Selatan untuk tempoh sedekad.

Selain itu, JDT juga masih mengekalkan rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan Liga Domestik sejak 11 Oktober 2022.

Pasukan itu juga meneruskan catatan maraton 39 rekod tanpa kalah dalam Liga Super Malaysia sejak 30 April 2021 dan 40 perlawanan dalam liga domestik sejak 4 Mac 2022.

JDT akan menghadapi 4 perlawanan pada bulan Ramadan melibatkan 3 perlawanan Liga Super Malaysia 2023 dan 1 perlawanan Piala FA.