Skuad Harimau Malaya hari ini telah menerima suntikan vaksin dos pertama sebagai persiapan berlepas ke UAE bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun.

Antara pemain yang turut menerima suntikan itu ialah bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman sekaligus mengesahkan beliau bakal dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat pada 16 Mei nanti.

Aksi memukau pemain yang berusia 18 tahun itu ketika dalam saingan Liga Super baru-baru ini telah berjaya memikat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Arif salah satu dalam senarai pendek, sudah tentu kami pun sebagai barisan kejurulatihan memantau dia dan potensi yang ditunjukkan cukup besar untuk pasukan kebangsaan.

“Ia sebagai persaingan yang sihat buat semua termasuk Safawi nanti. Tapi dari segi pengalaman di peringkat antarabangsa mungkin Safawi ada kelebihan.

“Kita perlukan ramuan yang terbaik dan kami jurulatih akan menilai dan melihat potensi yang ada untuk berada dalam pasukan nanti,” kata Cheng Hoe dipetik dalam Arena Metro.

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut mengesahkan tiga pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin di Belgium, Liridon Krasniqi di Australia serta Junior Eldstal di Thailand turut berada dalam senarai yang dipanggil.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti bagaimana kaedah untuk menyuntik vaksin kepada tiga pemain tersebut dan kemungkinan mereka akan pulang ke tanah air.

“Nama tiga pemain itu juga ada dalam senarai yang sudah dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tapi saya tak tahu cara untuk suntik mereka, adakah perlu balik ke sini atau tidak. Itu saya serahkan kepada pihak pengurusan,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Tiga Pemain Beraksi Di Luar Negara Bakal Perkuatkan Skuad Harimau Malaya

Vaksin Untuk Elakkan Kluster Harimau Malaya

Susuk Badan ‘Sado’ Luqman Hakim Dalam Kem Latihan Kebangsaan Jadi Bualan Hangat Penyokong Harimau Malaya

Guilherme de Paula Tersenarai Dalam Kem Latihan Harimau Malaya, Tiada Liridon Krasniqi Kerana Isu Kuarantin