Lionel Messi cemerlang membantu Argentina untuk terus kekal dalam persaingan Piala Dunia, ketika Abilceleste menang 2-0 ke atas Mexico.

Argentina tidak boleh kalah. Jika kalah, mereka akan tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2022. Ianya bukan kisah yang mahu diukir Argentina dalam pertandingan kali ini selaku salah sebuah pasukan pilihan.

Kekalahan luar biasa kepada pasukan bukan pilihan, Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G di Qatar telah menyebabkan Argentina berada di ambang penyingkiran.

Tetapi pemain Albiceleste berjaya melupakan tekanan dan fokus semula kepada permainan mereka.

Dan siapa lagi kalau bukan Messi yang genius menjadi kunci kemenangan pasukannya.

Ketika pasukannya kebuntuan berdepan sistem pertahanan Mexico, pemain PSG itu melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti pada minit ke-64.

Gol itu sangat cantik dan tipikal Lionel Messi. Dia mengukur dengan sebaiknya di mana arah sasaran bola yang dia mahu tembak.

Selepas gol pembukaan itu, Enzo Fernandez berjaya menambah gol kedua untuk Argentina tiga minit sebelum tamat perlawanan. Mengesahkan 3 mata milik mereka.

Gol cemerlang Messi dalam perlawanan ini bermakna bintang Argentina itu kini terikat dengan ikon Argentina, mendiang Diego Maradona, denngan menjaringkan lapan gol dalam 21 penampilan di Piala Dunia untuk Argentina.

Kedua dua legenda itu seringkali dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, terutama sekali pemain terbaik pada era mereka.

Gol istimewa Lionel Messi itu berlaku sehari selepas rakyat Argentina memperingati ulang tahun kedua kematian Maradona.

Messi kini  cemerlang memegang rekod untuk pemain paling muda menjaringkan gol dan pemain paling tua mencatatkan assist dalam Piala Dunia ketika bersama Argentina.

Walaupun menang dalam perlawanan ini,  namun begitu, pasukan Argentina masih perlu memenangi perlawanan terakhir kumpulan menentang Poland untuk menjamin tempat ke peringkat kalah mati.

Mereka masih berpeluang untuk mara sebagai juara kumpulan.

Sementara itu, pasukan Mexico kini hanya mengutip 1 mata selepas 2 perlawanan.  Mereka akan bertemu dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir untuk kumpulan C.

Misi untuk mara ke pusingan seterusnya, nampak sukar buat Mexico.