Pemain pertahanan Arab Saudi, Yasser Al-Shahrani mengalami kecederaan retak tulang rahang dan juga tulang wajah selepas bertembung dengan rakan sepasukan, Mohammed Alowais pada aksi kumpulan C menentang Argetina dalam temasya Piala Dunia 2022.

Al-Shahrani terkena lutut Alowais ketika permainan memasuki masa kecederaan dimana penjaga gol itu mahu menangkap bola di udara ketika pasukan lawan melancarkan gerakan serangan ketika kedudukan 2-1 memihak kepada wakil Asia itu.

Pemain berusia 30 tahun itu menerima rawatan dan tidak mampu meneruskan permainan ekoran kecederaan parah yang dialami dan beliau digantikan dengan Mohammed Alburayk. Arab Saudi kental bertahan sekaligus berjaya mengejutakn Lionel Messi dan rakan sepasukan pada aksi pembukaan kumpulan C.

https://twitter.com/TelesCombate/status/1595036304546447361

Pemeriksana lanjut mendapati tulang rahang dan tulang wajah Yasser Al-Shahrani mengalami keretakan dan pemain itu perlu segera menjalani pembedahan bagi menghentikan pendarahan di muka beliau.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman mengarahkan agar pemain itu segera diterbangkan ke Jerman menggunakan jet peribadi bagi menjalani pembedahan selepas aksi menentang Argentina.

Pada perlawanan antara England menentang Iran, penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand turut mengalami kecederaan di bahagian muka selepas beliau bertembung dengan rakan sepasukan.

Beiranvand cuba untuk meneruskan permainan namun kecederaan di bahagian hidung tidak membenarkan beliau untuk terus berada di atas padang dan beliau kemudiannya digantikan dengan Hossein Hosseini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lusail, Messi terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila beliau menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Saud Abdulhamid terhadap pemain tengah, Leandro Paredes.

Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia itu.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Arab Saudi manakala ia merupakan rekod pertama kali Argentina dibolosi dua gol pada perlawanan pembukaan Piala Dunia sejak kali terakhir mengalaminya pada 1974 (tewas 2-3 ditangan Poland).