Arab Saudi melakar kejutan pada aksi pembukaan kumpulan C Piala Dunia 2022 apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Argentina pada perlawanan yang berlangsung di Lusail Iconic Stadium, Qatar sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sememangnya sesuatu yang mengejutkan dunia bola sepak apabila Argentina hadir dengan reputasi hebat dimana Lionel Messi turut diturunkan.

Malah, Arab Saudi yang dibimbing Herve Renard kelihatan tidak gentar untuk bermain garisan tinggi [High Line] sehingga mampu memerangkap jentera serangan Argentina.

Segalanya tampak berada di landasan terbaik buat anak buah Lionel Scaloni itu apabila Messi mendapat peluang terbaik seawal minit kedua untuk membuka tirai jaringan.

Bagaimanapun, percubaan berbahaya daripada Messi dalam kawasan penalti itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais.

Kehampaan itu ditebus Messi berselang lapan minit kemudian apabila beliau menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Saud Abdulhamid terhadap pemain tengah, Leandro Paredes.

Kredit Foto: FIFA World Cup

Argentina yang kian bernafsu untuk menambah jaringan terpaksa menelan kepahitan dimana tiga jaringan dihasilkan selepas itu menerusi Lionel Messi dan Lautaro Martinez (dua gol) pada minit ke-22, 27 dan 35 dibatalkan kerana ofsaid.

Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia itu.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, Argentina tampil dengan lebih kemas untuk mendapatkan jaringan tetapi tolakan Nicolas Tagliafico ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol diselamatkan oleh Al-Owais pada minit ke-63.

Tandukan Messi dan Julian Alvarez pada lewat permainan juga dinafikan oleh kekentalan dipamerkan penjaga gol berusia 31 tahun itu.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Arab Saudi manakala ia merupakan rekod pertama kali Argentina dibolosi dua gol pada perlawanan pembukaan Piala Dunia sejak kali terakhir mengalaminya pada 1974 (tewas 2-3 ditangan Poland).

Manakala, Arab Saudi turut menjadi negara Asia pertama yang berjaya menjaringkan dua gol ke atas Argentina dalam sejarah Piala Dunia.