Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantina membayangkan Argentina bakal dilantik sebagai tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20) bagi menggantikan tempat Indonesia sebagai tuan rumah.

FIFA sebelum ini mengejutkan peminat bola sepak Asia apabila memutuskan untuk membatalkan hak Indonesia sebagai tuan rumahย Piala Dunia B-20 Tahun.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas meneliti beberapa faktor termasuk bantahan Gabenor Bali dan beberapa badan bukan kerajaan di Indonesia (NGO) yang menolak kehadiran skuad kebangsaan Israel dalam saingan Piala Dunia B-20 bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun ini.

Infantino berkata pihaknya juga sudah berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Claudio Tapia dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez untuk berbincang mengenai penganjuran Piala Dunia B-20.

Ketika ini, Argentina satu-satunya negara yang telah menghantar permohonan rasmi kepada FIFA untuk jadi tuan rumah Piala Dunia B-20.

“Ketika ini, Argentina satu-satunya telah menghantar permohonan rasmi dengan jaminan daripada kerajaan. Dalam masa dua atau tiga hari ini, jawatankuasa FIFA akan membuat keputusan,” kata Infantino dipetik dalam kenyataan rasmi.ย 

Skuad Argentina B-20 gagal layak ke Piala Dunia selepas tersingkir awal daripada peringkat kumpulan saingan Copa America B-20 tahun lepas.

Bagaimanapun, Infantino mengakui negara itu sememangnya layak untuk beraksi di Piala Dunia B-20 berdasarkan budaya bola sepak di negara tersebut.

“Kita seua tahu bagaimana bola sepak Argentina. Mereka adalah negara yang pasti boleh menjadi tuan rumah di pertandingan peringkat ini. Dengan tradisi bola sepak di Argentina, ada kemungkinan yang sangat bagus,” tambah Infantino.

Selain itu, Argentina juga mempunyai pengalaman menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 iaitu pada tahun 2001. Ketika itu, mereka diperkuatkan oleh beberapa pemain muda berbakat besar seperti Javier Saviola dan Maxi Rodriguz serta berjaya menjadi juara selepas menewaskan Ghana di final.