Skuad kebangsaan Argentina menyenaraikan pemain bintang sekaligus ketua pasukan mereka iaitu Lionel Messi bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Australia dan Indonesia pada Jun ini.

Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni membawa seramai 27 pemain untuk menghadapi dua perlawanan pada jendela FIFA kali ini dan beliau memutuskan untuk membawa barisan terkuat meskipun berdepan dua pasukan kerdil.

Selain Lionel Messi, beberapa pemain bintang lain yang dibawa kali ini ialah Emiliano Martinez (Aston Villa), Enzo Fernandez (Chelsea), Angel Di Maria (Juventus) dan Julian Alvarez (Manchester City) untuk berdepan Australia dan Indonesia.

Tidak mahu ketinggalan, ketua jurulatih skuad Garuda iaitu Shin Tae-yong turut memanggil barisan terkuatnya bagi memastikan pasukan itu memberi saingan kepada juara Piala Dunia 2022.

Antara pemain yang dipanggil oleh Tae-yong ialah Jordi Amat (JDT), Saddil Ramdani (Sabah) dan Asnawi Mangkualam (Jeongnam Dragons).

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut memanggil lima pemain yang baru-baru ini memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja seperti Marselino Ferdinan, Witan Sulaeman dan Ernando Ari.

Sebagai tambahan, Tae-yong turut memanggil beberapa pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah seperti Sandy Walsh, Shayne Pattynama, Ivar Jenner, Rafael Struick dan Elkan Baggott.

Perlawanan ini dilihat sebagai medan untuk memberi pendedahan kepada pemain Indonesia apabila mereka turun menentang pemaim terbaik dunia yang beraksi di liga ternama di Eropah.

Sekiranya tiada halangan, Messi mungkin diturunkan pada kedua-dua perlawanan persahabatan tersebut.